Cari @ Amanz

Dengan kemajuan teknologi, rekaan komputer dilihat sudah berubah daripada menara yang tinggi kepada kotak kecil dan juga saiz sebatang vape. Terkini, AORUS, jenama komputer yang dikenali untuk komputer riba gaming dan produktiviti berkuasa mereka baru-baru ini memperlihatkan projek terbaru mereka yang dinamakan Project Cielo.

Secara ringkasnya, komputer Project Cielo ialah sebuah komputer desktop yang hadir dengan rekaan modular yang terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian paling atas merupakan modul komputer yang merumahkan kesemua komponen sebuah komputer yang menariknya turut hadir dengan sokongan untuk rangkaian 5G.

Bahagian kedua komputer ini hadir dengan bateri yang besar, yang bermakna bahawa komputer ini boleh digerakkan menggunakan kuasa bateri sahaja tanpa perlu dipasang pada palam kuasa, manakala bahagian ketiga pula ialah pembesar suara Bluetooth untuk tujuan audio komputer ini.

Apa yang menarik mengenai ini ialah ia mempunyai rekaan bulat seakan-akan sebuah airfryer (penggoreng kering) yang mana tiga lapisan komputer riba ini disambungkan menggunakan sistem magnet untuk memastikan ia dapat disambungkan dengan baik.

Spesifikasi khusus Project Cielo ini tidak diketahui lagi, tetapi komputer modular ini adalah sebuah konsep yang cukup menarik yang sudah lama tidak didengari dari zaman komputer desktop Razer Project Christine dan juga komputer modular Acer Revo yang hadir di pasaran beberapa tahun yang lalu.

Samada pihak AORUS akan memperkenalkan komputer Project Cielo kepada umum ataupun tidak, ia tidak diketahui lagi. Pada pendapat kami, kehadiran komputer seperti ini di pasaran akan merancakkan lagi rekaan-rekaan PC yang menarik untuk mereka yang berminat untuk memiliki sebuah komputer desktop padat.

Sumber: GIGABYTE

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd