Cari @ Amanz

Transformasi digital Malaysia mampu menjana nilai ekonomi tahunan sebanyak RM257.2 bilion menjelang tahun 2030. Ianya bersamaan dengan kira-kira 17% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun 2020. Angka itu diperoleh hasil kajian terkini daripada AlphaBeta yang bertajuk ”Memposisikan Malaysia sebagai Peneraju Serantau dalam Ekonomi Digital”.

Menurut laporan tersebut, transformasi digital memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya tahan ketika masa pasca pandemik, selain menyokong sektor eksport Malaysia yang terkesan. Pada masa sama, ia turut mendedahkan yang mana penerapan digital di Malaysia masih rendah dan tidak sekata dalam pelbagai sektor dan saiz perniagaan, terutamanya di kalangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Sehubungan itu, tiga tonggak utama telah digariskan untuk memanfaatkan peluang yang ditunjukkan oleh transformasi digital dengan sepenuhnya. Antaranya seperti memudahkan digitalisasi di sektor awam dan swasta, membina bakat digital negara dan mempromosikan peluang perdagangan digital.

Google merupakan antara pihak yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan tonggak ini. Melaluinya, mereka telah mengambil pelbagai langkah proaktif dalam membantu pembangunan usahawan PKS dengan menawarkan bengkel percuma dan alat yang mudah digunakan.

Selain itu, Google juga berkolaborasi dengan sejumlah rakan kongsi seperti airasia academy, program ‘Wanita Cukup Berani’ oleh Nestle dan Mahir Digital Bersama Google bagi membantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang membina perniagaan yang lebih baik.

Dalam pada itu, YouTube juga berfungsi sebagai sebuah platform penting dalam usaha mempromosikan peluang perdagangan digital. Di mana, ia boleh dijadikan ruang buat para pencipta kandungan mengekspresikan diri masing-masing, di samping menyediakan sumber pendapatan alternatif.

Tidak terhenti di situ, Google turut melancarkan Carian Peluang Tempatan yang boleh dimanfaatkan oleh para pemilik perniagaan bagi memanfaatkan Business Profile dengan sepenuhnya di Google Search dan Google Maps. Dengan ini, ia memudahkan para pengguna atau pelanggan untuk mengetahui, menghubungi, menempah janji temu dan lebih banyak lagi yang berkaitan dengan sesuatu perniagaan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd