Cari @ Amanz

Razer ialah sebuah jenama teknologi yang terkenal untuk aksesori-aksesori komputer dan juga penawaran komputer riba mereka, yang mana kesemuanya hadir terus untuk digunakan apabila dikeluarkan dari kotak. Razer kini dilihat mahu memasuki pasaran komputer tersuai pula (custom desktop) dengan menawarkan sejumlah produk baru yang memanfaatkan populariti mereka dalam penggunaan sistem RGB Razer Chroma mereka.

Razer telah memperkenalkan siri komponen kipas penyejuk, penyejuk CPU, bekalan kuasa dan pengawal kipas untuk mereka yang mahu membina sebuah komputer desktop dengan tema Razer. Komponen-komponen yang diperkenalkan ini termasuklah kipas Razer Kunai, penyejuk CPU AIO Razer Hanbo, bekalan kuasa Razer Katana dan juga pengawal kipas Razer Pulse WIdth Modulator Fan Controller.

Kipas penyejuk Razer Kunai hadir dengan saiz 120mm dan 140mm yang boleh digunakan dalam rangka desktop pada pelbagai saiz untuk mengalirkan haba kedalam dan keluar rangka komputer. Razer Hanbo pula, seperti dinyatakan ialah sebuah penyejuk AIO yang hadir dengan pilihan radiator bersaiz 240mm ataupun 360mm yang dibangunkan bersama-sama syarikat pembuat sistem penyejuk komputer Asetek.

Bekalan kuasa Razer Katana pula hadir dengan sejumlah pilihan kuasa, dari 750W sehingga 1200W dengan pengesahan piawaian 80% Platinum, tetapi ia juga hadir dengan pilihan 1600W dengan pengesahan piawaian 80% Titanium bagi mereka yang mahu membangunkan sebuah komputer dengan keperluan kuasa yang sangat tinggi.

Razer mengatakan bahawa komponen-komponen ini akan diperkenalkan tidak lama lagi, dan tanda harga untuk pasaran tempatan akan diumumkan kelak.

Sumber: Razer

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd