Ulasan Sequent SuperCharger 2 Steel – Jam Hibrid Bangsawan Bateri Infiniti

Diterbitkan pada Okt 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebelum jam tangan pintar atau penjejak kesihatan menjadi berleluasa, kita semua menggunakan jam tangan biasa tidak kira analog atau digital yang tidak perlu dicas. Jika bateri habis, yang mana makan masa bertahun – bateri yang murah dan mampu dibeli mudah sahaja ditukar.

Siapa sahaja sangka, yang jam pun sekarang perlu dicas seperti mana kita semua cas telefon pintar? Di sebabkan itu, Sequent SuperCharger 2 telah dihasilkan. Ia adalah jam tangan mekanikal yang kelihatan biasa sahaja, tetapi sebenarnya jenis hibrid yang ada fungsi pemantauan aktivit asas terbina.

Apa yang menarik dengan jam ini, baterinya bertahan selama-lamanya atau selama infiniti melalui teknologi kinetik Unique SEMES. Adakah ia menarik untuk digunakan dan siapakah sasaran produk ini? Ini adalah artikel ulasan kami.


Spesifikasi

Unit yang kami terima di makmal Amanz ini adalah Sequent SuperCharge 2 Steel, yang kerangkanya diperbuat daripada besi tahan karat 316L. Panel belakang turut hadir dengan kemasan gegelung aluminium aeroangkasa berwarna hitam di sekeliling kaca nilam yang mendedahkan komponen mekanikal jam ini. Muka jam yang kami terima ini adalah dengan edisi berwarna hitam kusam, indeks jam serta jarum jam/minit yang digilap dan adalah versi tanpa imbasan nadi.

Ia menggunakan sistem kinetik di mana pergerakan mengubah menjadi tenaga elektrik untuk jam berfungsi. Hadir dengan penjejakan tapak, pemantauan aktiviti sukan asas, memantau kalori, sokongan eGPS yang menggunakan telefon, kawalan melalui aplikasi tersendiri dan turut mempunyai tombol berputar yang boleh ditekan untuk tambatan dan masuk ke mod sukan.

Diameter jam ini adalah 40.2 mm, dengan tali jam bersaiz 22 mm, serta mempunyai perlindungan 5ATM. Enjin jam ini tidak mempunyai sebarang roda-roda bergigi yang menjanjikan ketahanan lebih lama. Komponen mekanikal ini merangkumi bahan magnet dan beberapa lagi yang lain yang bergegar dan berputar pada setiap pergerakan memberikan satu rasa unik apabila berada di pergelangan tangan.

Secara asasnya ini adalah sepasang jam tangan mekanikal kelas premium yang ingin menawarkan mereka yang tidak suka mengecas jam tetapi masih ingin menikmati beberapa ciri penjejakan tanpa memakai lebih dari satu peranti boleh pakai.

Adakah Ia Menarik Untuk Digunakan?

Jam ini adalah jam paling selesa yang pernah saya gunakan sepanjang hidup saya. Ia rasa lain dan amat berbeza dengan kebanyakan yang yang pernah saya pakai sebelum ini. Rasa mewah itu jelas, mempunyai berat yang baik dan sedap sahaja di tangan, dapat rasakan getaran daripada enjin kinetik ini berputar serta butang yang sangat sedap ditekan.

Muka jam dengan latar belakang berwarna hitam kusam yang elegan dan cantik dengan indeks masa yang disusun kemas amat menenangkan hati untuk lihat. Ia direka dengan konsep minimalistik yang tidak serabut dan berada dalam kategori asas yang boleh memberikan satu pengalaman penggunaan klasik sebelum wujudnya jam tangan pintar sedia ada sekarang.

Ia ada indikasi dengan bar daripada grafik pada muka jam untuk memberitahu pengguna status pergerakan harian. Warna putih pudar di tahap awal, putih gelap sudah berada di tahap lebih 50% dan jingga di tahap yang hampir selesai. Jarum pada bahagian bar ini juga akan bergerak-gerak ketika menggunakan mod sukan. Sebelum saya cerita mengenai mod sukan, lihat jarum jam yang cantik ini – tidakkah ia nampak berlainan dan unik?

Tali jam EcoTide yang menggabungkan bahan nilon dan getah ini juga sungguh selesa. Saya tiada masalah kulit gatal, ia rasa sedap sentiasa dan membuatkan saya tidak terkata apa-apa ketika mula menerimanya.

Butang fizikal atau butang yang mimik seakan tombol berputar ini adalah untuk tujuan tambatan serta mengaktifkan mod sukan. Terdapat beberapa pintasan berbeza seperti tekan dua kali dan kali ketiga tahan, tekan dan tahan atau juga tekan tiga kali. Akan ada lampu LED menyala di sekitar perkataan Sequent memberitahu status jam ini.

Apabila jarum sentiasa berputar, bermakna mod sukan sedang aktif dan tidak akan memaparkan masa. Tetapi jika sekadar ingin menjejak tapak mod jam biasa sudah memadai kerana hanya jarum kecil sahaja akan bergerak.

Penggunaan jam ini tidak boleh disamakan dengan jam tangan pintar atau jam hibrid yang ditawarkan Fossil kerana ia berada sangat jauh dengan konsep yang cuba Sequent tawarkan.

Perkara yang kurang menarik pada jam ini adalah data-data penjejakan dan pemantauan aktiviti yang tidak begitu tepat. Disebabkan ia mekanikal dan komponen juga berat dengan setiap pergerakan akan bergegar serta menggunakan konsep pengiraan manual – data diperoleh akan lari sedikit berbanding jam tangan pintar atau penjejak kesihatan seperti Mi Smart Band 6. Tetapi perlu ingat, ia hanya untuk penggunaan asas sahaja – bukannya ada sensor penjejakan yang jitu.

Bateri

Menggunakan jam ini akan mempersoalkan apa itu bateri? Jam ini menggunakan tenaga kinetik dan baterinya adalah sepanjang hayat. Ia mempunyai masa standby sehingga dua tahun di mana apabila apabila “bateri mati”, goncang sekali sahaja ia akan terus diselarikan pada waktu yang terkini. Bermakna, jika tidak ada telefon pun jam ini boleh tahu pukul berapa.

Terdapat pak pengecas disediakan, yang saya sendiri tidak faham untuk apa. Mungkin untuk tujuan baiki, flash perisian secara manual atau untuk yang masih ingin mengecas secara manual. Tetapi anda kalau beli, boleh lupakan sahaja pengecas ini kerana ia tidak diperlukan langsung.

Apa Boleh Buat Dengan Aplikasinya?

Aplikasi Sequent yang menyokong Android dan iOS ini juga ringkas dan mungkin akan menjadi sedikit aneh bagi mereka yang baru ingin menggunakannya. GPS adalah pada telefon dan akan memakan bateri telefon jika ingin menggunakannya bersama-sama dengan jam. Data pula akan diperoleh dengan lambat kerana perlu kerap segar semula aplikasi secara sendiri.

Kemudian fungsi yang tidak boleh digunakan pada model ulasan kami ini seperti pemantauan tidur dan imbasan nadi masih dipaparkan dan ia tidak greyed out mengelirukan pengguna. Paling aneh, tetapi cool untuk saya dan mungkin dibenci orang lain adalah ruangan kemas kini yang memaparkan kod-kod seakan The Matrix kerana dalam proses muat turun dan pemasangan yang tidak berlaku di latar.

Sekali lagi, ia adalah jam biasa dengan teknologi kinetik serba baharu dengan penawaran asas untuk penjejakan – jadi saya sendiri tidak berharap apa-apa yang hebat. Secara tidak langsung saya boleh menerima jam ini dengan seadanya.

Kesimpulan

Mereka yang pentingkan gaya, merindui jam analog dengan muka jam sebenar bukannya rekaan digital yang tidak kelihatan realistik di depan – jam Sequent SuperCharger 2 ini adalah untuk anda. Malah, dengan rekaan bergaya yang acah bangsawan ini juga mempunyai estetik yang sangat seksi menjadikan pemakai boleh berlagak macho.

Ya mungkin masuk ke kafe hipster orang tidak kenali jenama ini berbanding Apple Watch. Tetapi jika ada iPhone 13 Pro Max di tangan, pakaian yang segak, kasut yang jelas nampak edisi khas yang mahal dan menggayakan jam ini – orang mungkin boleh beri hormat.

Persoalannya, adakah jam daripada Switzerland ini untuk anda dan adakah anda akan memakainya atau sudah rela dengan konsep jam tangan pintar? Ukur baju di badan sendiri, jam apa yang sesuai untuk diri anda. Jam ini dijual pada harga bermula CHF (mata wang Swiss Franc) 349 (~RM1580) untuk model Sport dengan kerangka aluminium, CHF 399 (~RM1806) untuk edisi Steel seperti dalam artikel, atau CHF 449 (~RM2032) untuk edisi dengan pengimbas nadi.

Muka jam ditawarkan daripada pilihan warna hitam, putih atau biru dengan tali jam daripada lima pilihan seperti hitam/jingga, hitam/biru, hitam/merah, hitam dan putih. Turut terdapat pilihan tali jam getah yang tebal jika itu adalah citarasa anda.


Pro

  • Konsep unik dengan enjin kinetik yang menarik
  • Bateri infiniti yang bertahan selama-lamanya
  • Rekaan cantik, elegan, dan seksi

Kontra

  • Data penjejakan yang tidak begitu tepat
  • Aplikasi yang terlampau asas tanpa sokongan penyelarian dengan perkhidmatan pihak ketiga
  • Jenama yang tidak dikenali ramai

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami