Carian
Arab Saudi Ingin Menjadi Pengeluar Hidrogen Terbesar Dunia
October 25, 2021 Effi Saharudin

Arab Saudi pada waktu ini ialah pengeluar petroleum terbesar dunia dengan kekayaan negara dijana dengan penjualan emas hitam sejak 1938. Tetapi dengan petroleum mula dilihat sebagai sumber tenaga kotor serta tidak lestari, Arab Saudi telah memulakan langkah pemutihan imej negara. Minggu lalu Menteri Tenaga Arab Saudu, Abdulaziz bin Salman mengumumkan projek yang akan menjadikan Arab Saudi pengeluar hidrogen biru terbesar dunia menurut laporan Bloomberg.

Gas asli yang dilombong dari lapangan gas Jafurah akan diubah menjadi hidrogen biru. Hidrogen biru ialah nama yang diberikan selepas gas asli dipisahkan menjadi hidrogen dan karbon dioksida menerusi proses pembaharuan metana stim atau pembaharuan termal automatik. Gas karbon dioksida yang dihasilkan kemudiannya dikumpulkan supaya tidak mencemari atomosfera.

Ini berbeza dengan hidrogen hijau yang memisahkan hidrogen dan oksigen dari sumber air menggunakan sumber tenaga lestari seperti solar atau kincir udara. Hidrogen ialah sumber tenaga mesra alam yang mempunyai potensi terbaik menggantikan bahan api petroleum. Syarikat kenderaan seperti Honda sudahpun mempunyai tren kuasa menggunakan sek hidrogen dengan Toyota memegang rekod dunia perjalanan paling jauh menggunakan bahan api hidrogen baru-baru ini.

Perubahan Arab Saudi dari pengeluar petroleum ke hidrogen adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk menjadikan negara emisi sifar bersih menjelang 2060. Di Malaysia pula PETRONAS dengan kerjasama UKM telah berjaya menghasilkan hidrogen hijau kendiri sebagai usaha untuk turut menjadi syarikat penyumbang kuasa lestari di masa hadapan.

Komen