23 Oktober yang lalu ialah ulang tahun ke-20 iPod diperlihatkan buat pertama kali dengan kemampuan menyimpan 1000 MP3 menggunakan storan sebesar 5GB. Kejayaan iPod sebagai pemain muzik digital dan iTunes menjadi pemangkin kepada kelahiran semula Apple di bawah Steve Jobs. Sempena ulangtahun ke-20 iPod, imej prototaip pertamanya telah muncul di laman Panic.

Protataip iPod yang diberi nama P68/Dulcimer ini telah disahkan sendiri sebagai asli oleh bapa iPod Tony Fadell. Saiznya jauh lebih besar berbanding produk akhir. Ini adalah bagi merahsiakan apakah fungsi sebenarnya sewaktu pembangunan. Ia masih mempunyai roda Click Wheel, skrin LCD untu memaparkan kandungan dan empat butang tambahan untuk navigasi yang tidak digabungkan dengan Click Wheel.
Sebahagian besar komponen dalam prototaip hanyalah ruang kosong dengan hanya terdapat output untuk sambungan Firewire dan bicu audio 3.5mm. Pada bahagian luar pula terdapat port untuk sambungan diagnostik. Siapa sangka kotak buruk ini akan merubah dunia teknologi 20 tahun selepas dihasilkan. Selamat ulang tahun ke-20 iPod!