Honor Play5, Play5T Pro dan Play5T Vitality Edition telah sedia diumumkan di China sebelum ini. Setiap satu daripadanya dilengkapi penawaran yang berbeza bersama ciri menarik tersendiri. Terkini, Honor telah menambah sebuah lagi peranti baharu untuk rangkaian berkenaan menerusi pengenalan Honor Play5 Vitality Edition.

Untuk spesifikasi khusus, peranti ini dilengkapi skrin IPS LCD berukuran 6.67-inci yang beresolusi FHD+ (2376 x 1080 piksel). Ia juga dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 900 bersama memori 8GB RAM (memori maya 2GB) dan storan dalaman sehingga 256GB. Tetapan kamera utama adalah 64MP + 2MP, manakala kamera swafoto pula sebesar 16MP.
Kemudian, bateri sebesar 4,300mAh turut disertakan yang menyokong pengecasan pantas 66W. Lain-lain penawaran adalah seperti menjalankan MagicUI4.2 berasaskan Android 11, pengimbas cap jari di sisi, Buetooth 5.1, bicu audio 3.5mm dan banyak lagi.

Di China, Honor Play5 Vitality Edition dijual pada harga bermula RMB1,799 (~RM1,169) untuk model 8GB+128GB. Sementara itu, model 8GB +256GB pula ditawarkan pada RMB1,999 (~RM1,300) untuk seunit.
Sumber : Honor China