Sony hari ini telah memperkenalkan penawaran terbaru mereka dibawah keluarga Xperia, iaitu Xperia PRO-I. Telefon pintar yang menyasarkan golongan profesional ini, lebih memberikan perhatian kepada sokongan fotografi melaluinya.
Sony Xperia PRO-I juga merupakan telefon pintar pertama di dunia yang menyertakan sensor bersaiz satu-inci dengan sokongan PDAF. Dengan penawaran ini, ia sekaligus membawakan sensor seumpama yang terdapat pada penawaran RX100 ke telefon pintar, bersama-sama sensor 24mm ZEISS Tessar.

Dengan langkah ini, ia membolehkan Sony menawarkan teknologi pengimejan seperti terdapat pada keluarga kamera Alpha daripada Sony.
Sony Xperia PRO-I ini hadir dengan sensor utama sebesar satu inci yang merakamkan gambar pada resolusi 12MP, kamera 12MP 16mm ultra-lebar, dan juga satu lagi kamera 12MP 50mm. Sebuah sensor 3D iTOF turut disertakan bersama-sama dengannya.

Pada bahagian perisian, Sony turut menawarkan ciri rakaman gambar RAW 12-bit, selain memberikan pengalaman seumpama merakamkan melalui kamera Alpha. Untuk rakaman gambar, ia menyokong rakaman 4K 120p. Sebuah butang fizikal yang didedikasikan turut disertakan pada telefon pintar ini.

Dari segi spesifikasi, Xperia PRO-I hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon 888, memori 12GB RAM, storan 512GB, dan sokongan mikro-SD sehingga 1TB. Melengkapkan ia juga adalah bateri 4500mAh dengan pengecasan pantas 30W.

Sony turut menyertakan sokongan kalis air IP65/68 bersama dengan telefon pintar ini. Sony bakal menawarkan telefon pintar ini pada harga $1800, iaitu sekitar RM7460. Buat masa ini, penawaran untuk pasaran Malaysia masih tidak diketahui lagi.