Carian
Ulasan Samsung Galaxy Buds2 – Tak Pro Tetapi Tak Apa
October 27, 2021 Effi Saharudin

Samsung Galaxy Buds2 dilancarkan sebagai ganti kepada Galaxy Buds dan Galaxy Buds+ yang dilancarkan dua tahun yang lalu. Pada waktu ingin saya mengaku bahawa saya lebih menggemari Buds+ berbanding Buds Live dan Bud Pro kerana hayat baterinya yang amat tahan lama. Cukup panjang untuk menemani saya dalam perjalanan dari Malaysia ke San Francisco beberapa tahun lalu tanpa perlu dicas sekalipun.

Buds+ bukanlah TWS yang sempurna. Isu pertama ialah ia tidak mempunyai sistem pembatalan hingar aktif (ANC) yang kini menjadi ciri wajib pada kelengkapan audio nirwayar (kecuali Apple nampaknya). Maka TWS gantian yang lebih canggih, dilengkapi ANC dan rekaan lebih moden dihasilkan. Samsung Galaxy Buds2 bukan pengganti kepada Pro tetapi di akhir hari ini semuanya tidak apa.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Buds2
JenisTWS dalam telinga
PemanduDWI
Mikrofon6 mikrofon
Bateri5 Jam/ 20 jam dengan pod dengan ANC
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarYa/Qi
CODECScalable, AAC, SBC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa/Bixby
Pad sesentuhYa 2X
Kemampuan kalis airIPX2
Storan DalamanTiada
Audio OfflineTiada
Pengimbas nadiTiada
Harga Jualan RM 499

Saya katakan tidak apa kerana dari pengamatan saya tidak seberapa, di Malaysia pengguna lebih memikirkan soal harga dan ciri yang disokong. TWS meru yang padu sekalipun tidak dapat menarik minat sekiranya dijual pada harga yang terlalu mahal untuk pasaran Malaysia. Samsung Galaxy Buds2 berada di tengah-tengah kerana menawarkan pelbagai ciri menarik pada harga yang tidak memerlukan pembeli begolok gadai.

Kita mulakan dengan rekaan yang mungkin adalah kekuatan Buds2. Keseluruhan tubuhnya licin dan aerodinamik seperti kepala Zinedine Zidane. Ini dipadankan pula dengan pilihan warna kontemporari Lavender, Graphite, Olive dan White. Saya cukup suka dengan warna Olive yang agak ketenteraan tetapi unit yang diulas adalah dalam warna Graphite yang tak kurang seksinya.

Kerana rekaan tubuh yang lebih licin, Buds2 sebenarnya nampak lebih premium berbanding Buds Pro. Dengan tubuh lebih aerodinamik ini juga, kerangka merangkap pod pengecas juga digunakan. Pod simpanan kecil molek Buds Live dan Buds Pro dikitar semula tetapi dengan pilihan warna dwi-tona. Bahagian luar putih berkilat dengan bahagian dalam sepadan dengan warna putik audio. Rekaan pod yang kecil ini membuatkannya selesa disimpan di dalam kocek untuk jangka masa yang lama. Tiada isu paha seperti dicucuk-cucuk.

Bercakap mengenai putik audio, ia adalah dari jenis dalam telinga (in-ear) dengan pilihan beberapa putik silikon bagi memastikan ia kedap dalam lubang telinga. Kekedapan adalah penting bagi memastikan tiada ketirisan audio dari luar yang membuatkan ANC tidak berfungsi pada tahap optimum. Saya cukup selesa dengan putik silikon tersedia tetapi Samsung menyertakan dua lagi – satu lebih kecil satu lagi lebih besar. Kekedapan audio kemudian dapat diuji menggunakan perisian terbina dalam aplikasi Galaxy Wearable.

Dua pad sesentuh diletakkan pada tubuh untuk melakukan kawalan media yang sedang didengari. Kesemua gestur asas yang disokong pada Buds terdahulu datang lagi begitu juga dengan sistem yang menjeda muzik apabila TWS ditanggalkan dari telinga pemakai. Selain sistem ANC, pengguna juga boleh mengaktifkan mod Ambience untuk membenarkan audio dari luar memasuki telinga.

Ini mod kegemaran saya pada TWS Samsung kerana turut boleh digunakan untuk memberikan kemampuan pendengaran seperti Superman. Perbualan dari hujung pejabat boleh dengar dengan mod Ambience. ANC dan Ambience boleh dimatikan bagi mereka yang mungkin hanya mahukan pembatalan hingar yang pasif.

Di awal ulasan saya katakan pod pengecas dan putik audio diperbuat daripada plastik yang berkilat. Ini membuatkannya kelihatan premium tetapi selepas digunakan selama tiga minggu saya menyedari rekaan ini mempunyai satu kekurangan yang ketara. Permukaan licin mudah calar balar. Beberapa kali pod dan putik terjatuh ke lantai mengakibatkan Buds2 saya tidak lagi kelihatan kacak seperti hari pertama. Oleh itu seperti telefon-telefon premium di pasaran, saya sarankan pembelian pelindung kerangka yang agak murah harganya di Malaysia sekarang.

Bagi yang ada duit lebih, Samsung menawarkan beberapa kerangka rasmi yang mengubah Buds2 menjadi Galazy Z Flip3 mini. Amatlah comel kerana ia membuatkan Buds2 kelihatan lebih bergaya dan mudah dipadankan dengan Z Flip3 sebenar jika anda memilikinya.

Penggunaan

Proses menambat bluetooth adalah mudah pada peranti Samsung. Buka pod pengecas dan ia akan dikesan terus dengan proses mengambil masa sekitar 10 saat bergantung kepada kelajuan Internet. Pada peranti Android lain tiada pula sokongan Google Fast Pair yang saya rasakan adalah kesilapan besar bagi pihak Samsung kerana ia kini menjadi ciri standard Android 11 ke atas. Pengguna sistem operasi lain pula boleh mengaktifkan pairing mode dengan menekan kedua-dua pad sesentuh Bud2 selama tiga saat. Pergi ke skrin tetapan bluetooth untuk menambat. Selepas itu TWS boleh digunakan tanpa masalah.

Cara paling mudah bagi pengguna Android dan PC ialah memuat turun aplikasi Samsung Wearables kerana pelbagai ciri seperti mengkustomasi pad sesentuh, mematikan pad sesentuh, Earbuds Fit Test dan Labs bolehd diakses. Pengguna iPhone hanya sekadar boleh berputih mata kerana tetapan dari kilang sahaja boleh digunakan kerana Samsung tidak lagi mengeluarkan aplikasi Wearables untuk iOS.

Pad sesentuh pada Buds2 adalah responsif. Mengesan semua arahan dengan baik termasuklah mod eksperimen mengubah tahap kelantangan audio dengan menyentuh kawasan luar pad sesentuh. Bagi pengguna Buds Samsung sebelum ini, kesemua ciri yang selama ini anda gunakan kembali tanpa perlu mempelajarinya semula.

Keselesaan putik audio adalah amat berbeza dari pengguna ke pengguna. Saya adalah insan yang sudah membiasakan diri lubang telinga disumbat dengan TWS in-ear maka penggunaan lama sekalipun tidak mendatangkan isu. Pemakaian sehingga 3 jam berterusan masih lagi selesa bagi saya. Putik audio juga tidak mudah tertanggal. Dengan pemilihan putik silikon yang serasi, keselesaan dan kekedapan audio yang baik boleh dinikmati.

Putik audio juga terpasang kemas pada pod pengecas kerana sambungan magnet yang baik. Walaupun digoncang secara terbalik, Buds2 tidak jatuh tergolek. Pintu pod juga cukup ketat untuk mengelakkan kandungan yang disimpan tidak terkeluar semasa disimpan di dalam beg.

Soalan paling penting yang pastinya perlu dijawab apakah beza Buds2 dengan Buds Pro yang lebih mahal?

  1. Tiada Voice Detect yang mengaktifkan Ambient Mode bagi memudahkan percakapan sebaik sahaja ia mengesan pengguna sedang bercakap.
  2. Tiada 360 Audio untuk pengalaman audio maya dari kesemua arah.
  3. Tetapan Ambient Mode tidak sebaik pada Buds Pro yang mempunyai lebih banyak tahap kekuatan.
  4. Buds Pro tiada Fit Test.
  5. Buds Pro tiada tetapan mematikan sesetengah ciri pad sesentuh.

Jadi adalah agak aneh Buds2 dan Buds Pro masing-masing mempunyai kekuatan serta kekurangan. Sepatutnya sebagai TWS paling mercu Buds Pro mempunyai kesemua ciri Buds2 seperti Fit Test dan mematikan hanya sesetengah ciri pad sesentuh.

Kualiti Audio dan Mikrofon

Kualiti audio adalah amat baik. Lebih terang dan lantang jika dibandingkan dengan Buds+ dan Buds Live. Sistem ANC yang disertakan adalah amat baik untuk menghalang bunyi luaran seperti desingan kipas, enjin kereta, kelas telesidang anak dan juga mesin pendingin hawa. Tahap pembatalan hingarnya agak baik sungguhpun tidak sebaik Buds Pro. Ini adalah dijangkakan.

Pengguna boleh mengubah equaliser bagi mendapatkan tona audio yang lebih serasi dengan muzik yang didengari. Mahukan letusan gegendang telinga? Naikkan tetapan bass. Anda lebih minat Tchaikovsky dari Tupac? Naikkan treble untuk muzik klasikal. Kualiti audio Buds2 adalah lebih baik dari yang dijangka kerana pada waktu ini ialah TWS paling murah ditawarkan oleh Samsung di pasaran Malaysia.

Mikrofon ialah kekurangan paling ketara pada Buds2 pada hemat saya. Sekiranya mod pembatalan hingar diaktifkan, perisian agak agresif cuba menghilang segala jenis hingar persekitaran. Akibatnya suara menjadi kurang jelas. Dalam situasi suasana yang lebih terkawal, kualiti mikrofon untuk melakukan sesi telesidang misalnya hanya sekadar sederhana sahaja.

Bateri

Bateri boleh bertahan sehingga 20 jam dengan bantuan pod pengecas atau 5 jam dengan ANC diaktifkan. Ia meningkat ke 7.5 jam atau 29 jam dengan pod pengecas jika ANC dimatikan. Pengecasan semula boleh dilakukan menggunakan port USB-C (kabel USB-C ke USB-A dibekalkan) atau nirwayar Qi. Proses pengecasan semula mengambil masa sekitar dua jam. Namun begitu waktu penggunaan sehingga 1 jam boleh dinikmati dengan pengecasan hanya selama 5 minit. Waktu penggunaan di dunia sebenar adalah amat bergantung kepada cara ia digunakan. Sepanjang ulasan saya berjaya mendapatkan hayat penggunaan seperti yang diiklankan

Kesimpulan

Samsung Galaxy Buds2 ialah TWS paling murah ditawarkan secara rasmi oleh Samsung sekarang dengan siri Buds dan Buds+ telah dibersarakan. Pada harga jualan RM499 ialah mungkin tidaklah “murah” mengikut standard pengguna Malaysia. Tetapi pada harga yang jualan ini, pelbagai ciri yang menarik dapat dinikmati seperti ANC yang cukup baik, mod Ambient yang memberikan pendengaran seperti Superman dan rekaan yang sebenarnya lebih cantik jika dibandingkan dengan Buds Pro.

Ia masih belum dapat menggantikan Buds Pro sebagai TWS pilihan saya tetapi dengan mudah mengalahkan Buds Live yang dijual pada harga lebih mahal. Ia mempunyai kesemua kelebihan dan kekurangan sebuah TWS Samsung. Sokongan perisian untuk telefon pintar masih lagi hanya di Android tetapi masih boleh digunakan di iOS cuma tanpa kawalan yang lebih mendalam.

Beli Galaxy Buds2 sekiranya anda mahukan TWS dengan pelbagai ciri bonus dan rekaan yang membuatkannya tidak ketara apabila dipakai pada telinga. Jangan beli jika anda mahukan prestasi audio yang lebih baik mikrofon yang membolehkan anda kedengaran lebih jelas ketika sesi telesidang.

Pro

  • Rekan yang lebih seksi, kompak dan ringan sehingga tidak terasa ketika dipakai.
  • Prestasi audio yang amat memuaskan untuk kelasnya.
  • Mod ANC dan Ambient yang cukup baik. Lebih baik berbanding Buds Live.
  • Pad sesentuh amat responsif kepada arahan gestur yang diberikan.
  • Pilihan warna yang cukup menarik.
  • Hayat bateri yang baik dalam kelasnya.

Kontra

  • Mikrofon kurang jelas khususnya jika kawasan sekeliling bising.
  • Tiada sokongan untuk iOS.
  • Permukaan berkilat mungkin akan calar dalam masa terdekat.
  • Lebih serasi dengan ekosistem Samsung.
Komen