Nampaknya, kini telah bermula era dimana syarikat gergasi hadir dibangunkan bermula daripada sebuah saluran YouTube. Kita sedia mengenali akan sejumlah penerbit kandungan yang menjana jutaan ringgit setiap tahun, dan salah satu yang menarik adalah FaZe Clan – yang mana telah membentuk sebuah komuniti disebalik nama mereka, dan kini bernilai lebih $1 bilion.
FaZe Clan telah bermula di YouTube pada 2010 yang lepas, yang memfokuskan permainan Call of Duty. Mereka telah bermula dengan mempelbagaikan bentuk penstriman permainan, selain turut menyertai acara esukan dengan aktif.
Pada tahun 2015, FaZe Clan menerima pelaburan pertama, dan dari sana mereka telah giat memperluaskan pasukan dengan mengambil-alih pasukan esukan yang lain, dan memenangi pertandingan dan liga.
Sejak daripada itu, mereka telah mempelbagaikan penawaran, termasuk melabur pada beberapa syarikat. Malah, pada 2020, mereka turut telah memfokuskan penghasilan rancangan TV dan filem dibawah jenama Faze Studios.
Terbaru, kini FaZe Clan telah mengumumkan bakal melakukan penyenaraian awam untuk syarikat mereka, pada nilai permulaan $1 bilion. Faze Clan mengatakan mereka mempunyai capaian komuniti berjumlah 350 juta orang di seluruh dunia, dengan hampir majoriti berumur bawah 30 tahun.
Selari dengan pengumuman ini juga, syarikat FaZe akan dijenamakan sebagai Faze Holdings Inc, dan akan lebih memfokuskan kepada budaya dan suara anak muda.