Hari ini, Sony telah melancarkan peranti pintar terbaru mereka, iaitu Sony Xperia PRO-I yang mana ia boleh dipanggil sebuah kamera yang hadir dengan kemampuan untuk membuat panggilan telefon, dan juga menggerakkan aplikasi dengan sistem operasi Android.
Ia tampil dengan sensor gambar bersaiz 1.0 inci, iaitu sensor bersaiz sama yang hadir dalam siri kamera kompak mereka, iaitu Sony RX100. Ia juga mampu merakam gambar pada resolusi 12MP, kamera 12MP 16mm ultra-lebar, dan juga satu lagi kamera 12MP 50mm. Sebuah sensor 3D iTOF turut disertakan bersama-sama dengannya.

Terkini, ia berkemungkinan bahawa kita tidak perlu menunggu lama untuk peranti ini memasuki pasaran tempatan, kerana Sony Malaysia dilihat telah membuka laman pendaftaran minat untuk mereka yang mahu memiliki sebuah peranti Xperia Pro-I ini.
Secara lazimnya, syarikat tempatan hanya akan membuka laman minat ini apabila mereka mahu mengetahui samada pasaran tempatan berminat untuk memiliki peranti ini ataupun tidak. Ini cukup benar khususnya untuk Sony Malaysia, yang mana ia cukup terkenal untuk membawa masuk peranti Xperia hanya beberapa bulan selepas peranti-peranti ini memasuki pasaran antarabangsa.

Laman ini dilhat ditulis untuk pasaran Asia Pasifik, tetapi oleh kerana laman Sony Malaysia sendiri yang mempromosikan laman tersebut, kami jangkakan bahawa mereka juga berminat untuk membawa masuk peranti ini ke pasaran tempatan secepat mungkin.
Bagi anda yang mahu mendaftar minat untuk mendapatkan peranti Sony Xperia Pro-I ini, anda boleh mendaftar minat anda di laman web ini.