Cari @ Amanz

Industri dron tempatan dilihat diantara sektor teknologi yang berkembang dengan sangat pesat kebelakangan ini. Dengan nama Aerodyne dilihat sebagai pemain industri global, dan Area 57 yang baru-baru ini dinobatkan sebagai pusat pemesatan teknologi dron tempatan, terdapat satu lagi nama yang dilihat akan meningkatkan lagi industri ini di pasaran tempatan.

Poladrone baru-baru ini dilaporkan telah menerima dana permulaan (seed funding) yang bernilai $4.9 juta (RM18 juta) untuk mengembangkan perniagaan mereka, yang kini sudahpun bertapak di Malaysia dan Thailand ke Indonesia pula selepas ini.

Menurut laporan Digital News Asia, dana permulaan ini dilihat dikumpul daripada syarikat-syarikat pelaburan seperti Wavemaker Partners, ZB Capital Limited dari Hong Kong dan juga Malaysian Technology Development Corporation, iaitu sebuah anak syarikat Khazanah Nasional.

Poladrone mungkin sebuah syarikat yang tidak semenggah nama seperti Aerodyne, tetapi syarikat dron ini bukanlah sebarang syarikat biasa. Mereka telah membina dua model dron yang dinamakan Oryctes, untuk tujuan penyemburan pokok kelapa sawit dan juga Mist untuk tujuan penyemburan tumbuhan seperti padi, jagung dan sebagainya.

Selain daripada pengembangan perniagaan ke Indonesia, pengasas Poladrone, Cheong Jin Xi mengatakan bahawa mereka juga akan membangunkan pusat-pusat dron di bandar-bandar tertentu untuk memudahkan para pelanggan mereka untuk membeli dron baru, servis dron sedia ada dan membeli alat ganti sekiranya ada apa-apa komponen yang perlu ditukar.

Menurut beliau, perkara ini penting kerana sekiranya dron-dron yang digunakan oleh pelanggan-pelanggan mereka mengalami kerosakan, jika mereka perlu ke bandar-bandar besar untuk diperbaiki, kebarangkalian mereka akan mengalami kerugian adalah sangat tinggi.

Dengan pengenalan pusat-pusat servis ini, ia lebih mudah dan cepat untuk pemilik-pemilik ladang untuk ke bandar terdekat dan memperbaiki dron-dron mereka dimana mereka boleh menggunakannya terus pada keesokan harinya sekiranya masalah yang dihadapi adalah isu yang kecil.

Perkara ini juga penting buat Poladrone khususnya kerana dron-dron mereka digunakan di lapan ladang kelapa sawit yang terbesar di Malaysia, dan ia adalah penting bahawa kelengkapan Poladrone tidak memberi masalah kepada peladang-peladang ini.

Kelebihan utama Poladrone kini dapat dilihat dari bagaimana mereka membangunkan sesebuah sistem dron yang disesuaikan dengan industri yang memerlukannya. Fokus mereka kini dilihat dalam sektor agrikultur, tetapi dengan dana yang diberikan, ia tidak mengejutkan sekiranya mereka akan mula memasuki industri-industri lain pula selepas ini.

Sumber: Digital News Asia

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd