Masalah kesihatan mental bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat main. Ia sememangnya berpotensi menganggu rutin harian dan mempengaruhi emosi seseorang individu. Misalnya seperti gangguan selera makan, waktu tidur, ketenangan jiwa dan lain-lain. Malah lebih parah lagi apabila ia terjejas teruk sehingga mendorong seseorang bertindak secara tidak rasional seperti membunuh diri.
Merujuk kepada data yang diperoleh daripada PDRM, kes bunuh diri di Malaysia menunjukkan peningkatan dalam tempoh tempoh tujuh bulan kebelakangan ini. Di mana, sebanyak 638 kes telah diterima berbanding 262 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. Malahan, 89.4% daripada aduan yang diterima oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga berkaitan dengan isu yang timbul.
Oleh itu, Facebook Malaysia kini melancarkan kempen #SamaSamaSupport bagi membantu golongan yang terkesan mendapatkan bantuan kesihatan yang sepatutnya. Pada masa sama, ia juga memperluaskan akses kepada bantuan kesihatan menerusi beberapa aplikasi komunikasi yang mudah diakses seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp. Di samping itu, WhatsApp Chatbot turut akan diperkenalkan bertujuan sebagai lubuk utama maklumat yang lebih pantas.
Kempen ini juga dilaksanakan dengan kerjasama beberapa pakar seperti MIASA, AWAS Malaysia dan BefriendersKL. Melaluinya, ia menumpukan kepada tiga usaha utama seperti bekerjasama dengan pakar dalam spektrum kesihatan mental untuk jangkauan lebih besar. Kemudian, ia menggalakkan pembangunan komuniti yang inklusif untuk meningkatkan daya tahan emosi. Akhir sekali, ia juga meningkatkan kesedaran dengan menyediakan akses kepada sumber yang sepatutnya.
Sepanjang kempen ini berlangsung, pelbagai informasi berbentuk petua untuk mewujudkan batasan media sosial yang sihat akan dikongsikan menerusi laman rasmi Facebook Malaysia, MIASA, AWAS dan Befrienders. Terdapat juga perkongsian pengalaman daripada beberapa selebriti tempatan seperti Diana Danielle dan Daphne King.