Palm Buds Pro Dilancarkan Dengan ANC, Mikrofon Studio Dan Mod Tembus Bunyi

Diterbitkan pada Okt 26, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Palm yang kini dimiliki oleh TCL baru-baru ini telah pun melancarkan produk baharu selepas tiga tahun menyepi. Produk ini adalah set fon telinga nirwayar sebenar atau TWS yang digelar Palm Buds Pro.

Ia hadir dengan sokongan pembatalan hingar aktif yang menggunakan enam mikrofon terbina, tiga untuk setiap satu fon telinga yang turut didakwa mempunyai kualiti bertaraf studio. Selain itu, Palm turut menyediakan sokongan mod tembus bunyi untuk memudahkan pengguna mendengar keadaan di sekeliling. Pemacu audio yang digunakan adalah 10mm jenis dinamik yang memfokuskan bass.

Untuk panggilan telefon, panggilan audio atau kegunaan telesidang, TWS ini turut menyokong pembatalan hingar persekitaran untuk kualiti suara yang lebih jelas. Ia turut hadir dengan kawalan sesentuh untuk menukar antara mod bunyi, menjawab panggilan telefon atau juga menyeru pembantu digital seperti Siri atau Google Assistant.

Ketahanan bateri dikatakan boleh bertahan sehingga enam jam secara berterusan dan dengan pod pengecas merangkap kerangka simpanan, ia boleh dicas sehingga tiga sehingga penuh menjadikan penggunaan sehingga 24 jam. Pengecasan adalah melalui USB-C. Untuk perlindungan ia hadir dengan sokongan IPX4 yang boleh tahan percikan air atau peluh.

Untuk sambungan, ia menggunakan Bluetooth 5.0 yang menjanjikan tambatan ke peranti dalam masa beberapa saat selepas kerangkanya dibuka. Rekaan dilihat menggunakan elemen yang mirip dengan AirPods Pro, tetapi tangkainya lebih tirus dan tajam. Palm tidak mendedahkan bahan binaannya, tetapi dari imej ia kelihatan seakan plastik dengan kemasan kusam.

Palm turut menjual selongsong pelindung dengan pilihan warna Shadow Black, Navy Blue atau Rose Pink untuk melindungi TWS ini. Palm Buds Pro dijual pada harga $129 (~RM536), selongsong pula pada harga $24.99 (~RM104) dengan harga promosi $99 (~RM411) dan $14.99 (~RM62.23) atau harga berkas $113.99 (~RM473).

Buat masa ini, ia hanya ditawarkan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico melalui pra-tempahan di laman web rasmi dan Amazon. Palm turut akan menjualnya di peringkat antarabangsa di masa akan datang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami