Samsung hari ini mengadakan acara untuk pembangun, sekaligus berkongsi sejumlah perkembangan yang dirancang oleh gergasi elektronik berkenaan untuk tahun akan datang. Salah satu perkara yang disentuh adalah penawaran “Cloud Gaming Platform” secara terbina terus pada televisyen pintar berasaskan Tizen.
Samsung tidak berkongsi lanjut berkenaan dengan perkara ini. Menurut Samsung, dengan adanya integrasi permainan secara awanan, ia akan membolehkan pengguna memainkan pelbagai permainan terus pada kaca televisyen tanpa memerlukan sebarang perkakasan (konsol?) tambahan.
Samsung mengatakan sedang bekerjasama dengan sejumlah rakan kerjasama untuk membawa perkhidmatan berkenaan.
Untuk makluman, beberapa pihak sedang melihat kepada arena permainan awanan, termasuk Sony, Google, Microsoft, NVIDIA dan juga Amazon. Penyertaan Samsung mungkin memberikan kelebihan memandangkan mereka sedia mempunyai penawaran televisyen di pasaran hari ini.