Cari @ Amanz

AGON By AOC merupakan jenama gaming oleh jenama pembuat paparan terkemuka AOC, dimana melalui jenama tersebut, mereka melancarkan siri paparan skrin yang dibangunkan khas untuk tujuan gaming.

Terkini, AGON By AOC telah memperlihatkan tiga buah paparan skrin gaming baru yang menggunakan panel Mini LED yang bukan sahaja hadir dengan penawaran kualiti warna yang sangat baik, tetapi juga mempunyai ketahanan yang agak lama.

Bermula dengan AGON Pro AG274QXM, paparan ini hadir dengan panel bersaiz 27 inci dengan resolusi 2560 x 1440, disamping mempunyai nilai kecerahan 1000 nit yang mana ia juga menyokong teknologi paparan HDR1000 yang menjanjikan olahan warna yang sangat ranggi sekali.

Bagi mereka yang tidak mahu paparan mereka terkesan akibat cahaya lampu ataupun matahari, paparan skrin ini juga hadir dengan penutup sisi yang mana ia akan menghalang cahaya daripada mengenai bahagian paparan skrin ini. Ia juga hadir dengan kadar segar semula 170Hz pada resolusi penuhnya, dan juga mempunyai sokongan untuk NVIDIA GSYNC bagi mereka yang memiliki komputer yang menggunakan kad grafik NVIDIA ini.

Model kedua ialah AGON Pro AG274UXP yang menggunakan teknologi pencahayaan Mini LED dengan panel paparan Nano IPS dengan resolusi 4K. Ia juga hadir dengan nilai kecerahan 600 nit yang menyokong HDR600 dan mempunyai kadar segar semula 144Hz pada resolusi tersebut, menjadikannya diantara paparan terbaik untuk gaming pada resolusi 4K jika anda memiliki sebuah komputer yang boleh menguasakan permainan pada resolusi dan kadar segar semula tersebut.

Dari segi rekaan, paparan skrin AG274UXP ini hadir dengan rekaan hampir nirbingkai pada semua arah paparan ini, memaksimakan penggunaan panel sebaik yang mungkin, dan kehadiran palam HDMI 2.1 membuatkannya paparan yang cukup sesuai digunakan sekiranya anda memiliki sebuah konsol permainan generasi terbaru seperti Sony PlayStation 5 ataupun Xbox Series X.

Bagi anda yang mementingkan kadar segar semula sebuah paparan lebih dari segalanya, AGON Pro AG274QG mungkin untuk anda. Ia hadir dengan resolusi QHD (2560×1440), tetapi mempunyai kadar segar semula setinggi 240Hz yang cukup sesuai bagi mereka yang gemar bermain permainan e-sukan pantas seperti Overwatch, Counter-Strike, Apex Legends dan sebagainya pada resolusi dan juga tetapan yang tinggi juga.

Sama seperti paparan-paparan sebelum ini, ia hadir dengan sokongan untuk teknologi HDR dan NVIDIA GSYNC bagi mereka yang mahukan pengalaman gaming dan tontonan video terbaik dalam satu pakej.

Menurut AGON, AGON PRO AG274QXM sudah mula ditawarkan di pasaran-pasaran terpilih bermula bulan ini pada harga 850 GBP, manakala AGON Pro AG274UXP dan AGON Pro AG274QG akan ditawarkan pada bulan Februari tahun hadapan pada harga 850 GBP dan 770 GBP.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd