Intel Melancarkan Siri Cip Pemprosesan Generasi Ke-12 Alder Lake – Akan Mula Dijual 4 November Ini

Diterbitkan pada Okt 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Setelah bercakap mengenai cipset terbaru mereka pada bulan lepas, Intel kini akhirnya telah secara rasmi memperkenalkan siri cip pemprosesan generasi ke-12 mereka, Alder Lake untuk pasaran pengguna.

Siri cip pemprosesan ini dilihat sebagai kembalinya Intel sebagai sebuah gergasi cip pemprosesan untuk komputer kelas pengguna dan industri, yang mana ia bukan sahaja hadir dengan penambahbaikan dari segi penawaran prestasi yang lebih tinggi, tetapi juga sokongan untuk sejumlah teknologi baru yang tidak dilihat pada mana-mana penawaran lain sebelum ini.

Siri CPU ini dibina menggunakan proses Intel 7 (10nm++) dan memperkenalkan gabungan jumlah teras dan bebenang kuasa yang banyak, disamping penawaran frekuensi yang agak tinggi. Seperti yang dikatakan sebelum ini, siri CPU Intel Alder Lake ini juga akan hadir dengan sokongan untuk piawaian memori DDR5 dan juga teknologi penghantaran data PCIe 5.0 yang terbaru.

Ini membolehkan Intel untuk memanfaatkan lagi beberapa teknologi baru seperti sokongan untuk WiFi 6E dan juga Thunderbolt 4 dan USB 3.2 yang lebih pantas berbanding sebelum ini yang juga tidak akan memakan begitu banyak kuasa CPU, membolehkan ia digunakan untuk tugas-tugas yang lebih penting.

Untuk permulaan, Intel dilihat akan mula memperkenalkan enam siri CPU untuk desktop terlebih dahulu, termasuklah:

  • Intel Core i9-12900K (16 teras, 24 bebenang, 3.2GHz)
  • Intel Core i9-12900KF (16 teras, 24 bebenang, 3.2GHz )
  • Intel Core i7-12700K (12 teras, 20 bebenang, 3.6GHz)
  • Intel Core i7-12700KF (12 teras, 20 bebenang, 3.6GHz)
  • Intel Core i5-12600K (10 teras, 16 bebenang, 3.7GHz)
  • Intel Core i5-12600KF (10 teras, 16 bebenang, 3.7GHz)

Jika anda merasakan ia agak aneh mengapa nilai teras dan bebenang tidak berganda seperti sebelum ini, ia adalah kerana siri CPU Alder Lake kini menggunakan sistem teras Performance dan Efficiency yang mana teras pertama digunakan untuk tugas-tugas berat, manakala teras Efficiency digunakan untuk tugas-tugas yang ringan.

Intel juga mengesahkan bahawa teknologi Hyper-Threading mereka hanya hadir pada teras Performance, yang menyebabkan nilai bebenang kuasa yang tidak sekata ini. Walaupun begitu, Intel mengatakan bahawa untuk pengguna biasa, ia bermakna bahawa Alder Lake akan menjadi sebuah CPU kelas desktop yang lebih cekap dalam mengagihkan tugas dan menggunakan kuasa.

Intel melakukan ini dengan pengenalan teknologi Intel Thread Director yang dibangunkan untuk memudahkan pengagihan tugas ini, dimana sistem tersebut akan mendapatkan data secara terus daripada sistem operasi, dan pengguna tidak perlu risau mengenai kemaskini perisian untuk CPU tersebut.

Siri CPU Intel Core siri K semuanya akan hadir dengan kemampuan melewahjam, dimana Intel Core i9-12900K memperlihatkan kemampuan melewahjam sehingga 5.2GHz, manakala model siri KF tidak akan hadir dengan cip pemprosesan grafik Iris Xe terbina didalamnya.

Intel mengatakan pra-tempahan akan dibuka melalui pengedar CPU dalam masa yang terdekat ini, dimana tarikh penjualan akan bermula pada 4 November kelak untuk beberapa negara terpilih, dimana bekalannya akan ditambah sepanjang tahun ini.

Tanda harga untuk siri CPU ini bermula $264 sehingga $589 bergantung kepada model yang dikehendaki.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami