Semalam, Intel telah melancarkan siri cip pemprosesan generasi ke-12 mereka, Alder Lake secara rasmi, dan setelah itu, sejumlah jenama pembuat komponen telah memperlihatkan penawaran terbaru mereka untuk siri CPU tersebut. Salah satu jenama tersebut ialah ASUS yang tampil dengan penawaran papan induk Intel Z690 mereka.
Papan-papan induk ini termasuklah ROG Maximus Z690 Extreme, ROG Maximus Z690 Extreme Glacial, ROG Maximus Z690 Formula, ROG Maximus Z690 Apex, ROG Maximus Z690 Hero, dan siri ROG Strix Z690.

Selain daripada menyokong siri CPU Intel Alder Lake terbaru, papan-papan induk ini memperlihatkan sokongan tambahan seperti palam Thunderbolt 4.0, WiFi 6E terbina, dan juga sokongan memori DDR5 dan teknologi penghantaran data PCIe 5.0 yang terbaru.

Papan-papan induk ini juga memperlihatkan dua fungsi baru yang akan membuatkan pengalaman membina PC anda lebih mudah dengan pengenalan fungsi Q-Latch dan Q-Release. Q-Latch ialah sebuah takuk di bahagian storan SSD M.2 yang memudahkan proses pemasangan storan bersaiz kecil tersebut, tanpa perlu menggunakan skru. Fungsi ini memastikan storan M.2 tersebut mudah dipasang dan dikeluarkan apabila perlu.

Q-Release pula ialah sebuah butang untuk slot PCIe 5.0 yang berada dibawah bahagian CPU yang memudahkan anda untuk mencabut kad grafik bersaiz besar tanpa perlu mencucuk butang selak yang secara lazimnya terletak dibawah kad grafik tersebut. Sehingga kini, apabila anda memasang sebuah kad grafik bersaiz besar pada slot tersebut, ia merupakan salah satu daripada komponen yang paling sukar dikeluarkan, khususnya jika anda juga menggunakan sebuah penyejuk CPU yang agak besar.

Model seperti ROG Maximus Z690 Extreme Glacial misalnya hadir dengan bongkah penyejuk cecair terbina untuk mereka yang mahu membina komputer dengan sistem penyejukan cecair tersuai, manakala sejumlah daripada papan-papan induk ini juga hadir dengan penyejuk VRM yang memastikan komponen-komponen papan induk ini kekal pada suhu optimum.
Bukan itu sahaja, untuk memastikan sokongan untuk penyejuk sedia ada, papan-papan induk ASUS juga hadir dengan lubang di bahagian CPU yang menyokong penyejuk baru dan lama, khususnya kerana saiz CPU Intel Alder Lake yang jauh lebih besar berbanding dengan siri CPU sebelum ini.
Bagi mereka yang suka melihat rekaan-rekaan berwarna-warni dalam komputer mereka, beberapa siri papan induk baru ASUS ini juga hadir dengan sistem pencahayaan AniMe Matrix yang secara lazimnya diperlihatkan pada siri komputer riba ASUS ROG Zephyrus dan ROG Phone mereka. AniMe Matrix membolehkan pengguna untuk menambah rekaan pencahayaan LED mereka sendiri untuk menambahkan individualiti kepada binaan-binaan komputer mereka.
ASUS dijangka akan mula menjual papan-papan induk ini bermula 4 November ini, hari yang sama siri CPU Intel Alder Lake mula dijual.
Sumber: ASUS