Facebook sedia diperkatakan sedang membangunkan sebuah jam tangan pintar sebelum ini. Hari ini, melalui aplikasi Facebook View, gambar jam tangan pintar berkenaan disertakan melalui kod yang tersembunyi dalam kemaskini berkenaan.
Dikongsikan melalui Bloomberg, gambar berkenaan memperlihatkan rekaan muka jam empat segi dengan bucu melengkung, selain turut menyertakan kamera hadapan dengan sebuah takuk kecil. Gambar yang dikongsikan turut memperlihatkan bahagian muka jam yang boleh ditanggalkan daripada tali jam dengan mudah.

Mengikut desas-desus, Facebook dijangka memperkenalkan jam tangan pintar ini pada awal 2022 kelak. Sebanyak tiga model jam dijangka dalam pembangunan buat masa ini.
Dengan sokongan kamera, ia dijangka akan memudahkan lagi melakukan panggilan video, selain membolehkan pengguna merakamkan gambar atau video dan menghantarnya terus ke telefon pintar.
Perkembangan terbaru ini turut memperlihatkan pihak Meta mempunyai sejumlah peranti dan perkakasan untuk diperkenalkan – sekaligus menawarkan pengalaman alam meta yang menyeluruh kepada pengguna.
Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut arena ini.