Kewujudan mengenai Redmi Smart Band Pro telah kedengaran sejak minggu lalu. Ia berikutan tularnya beberapa imej pengolokan yang memperlihatkan rekaan pada jam tangan berkenaan. Dalam pada itu, ia juga merupakan model kemaskini untuk Redmi Smart Band dengan penambahan beberapa ciri baharu.

Redmi Smart Band Pro hadir dengan skrin sesentuh berbentuk segi empat memanjang bersama kemasan sisi yang melengkung dan tanpa sebarang butang fizikal. Skrinnya adalah sebesar 1.47-inci beresolusi 194 x 368 piksel. Selain itu, terdapat juga 110 mod sukan berbeza untuk kemudahan pengguna. Untuk makluman, 15 jenis daripada mod sukan berkenaan terdiri daripada senaman jenis profesional.

Melengkapinya juga adalah sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan seperti kadar degupan jantung sepanjang hari, SpO2 untuk pengesanan ketepuan oksigen dalam darah, pengesanan pola tidur dan sebagainya. Dengan bateri 200mAh, ia diiklankan dengan ketahanan mencapai maksimum 20 hari dalam mod penjimatan dan 14 hari dalam penggunaan biasa.

Tidak ketinggalan, ia juga dilengkapi penarafan kalis air 5ATM dan boleh digunakan bersama aplikasi Xiaomi Wear atau beberapa aplikasi pihak ketiga seperti Strava serta Apple Health untuk penggunaan lebih baik. Redmi Smart Band Pro telah disenaraikan di laman web rasmi Xiaomi Global. Pun begitu harga jualan rasminya masih belum diumumkan lagi.
Sumber : Xiaomi Global