Cari @ Amanz

Intel dijangka akan memperkenalkan siri kad grafik Intel Arc Alchemist mereka pada awal tahun depan, walaupun ia hanya akan mula dijual sekitar suku kedua kelak. Terkini, rekaan “akhir” kad grafik pertama daripada Intel tersebut nampaknya telah tertiris ke arena internet.

Melalui laman YouTube Moore’s Law is Dead, dua rekaan kad grafik ini telah diperlihatkan, satu model kelas berkuasa yang dilengkapi dengan 512 EU (execution units) yang memperlihatkan rekaan akhir kad grafik ini sebelum ia akan dipasarkan, dan satu lagi rekaan olahan yang merupakan model kelas mampu-milik dengan 128 EU terbina yang jauh lebih kecil.

Bermula dengan kad grafik pertama, ia memperlihatkan penutup penyejuk berwarna perak, berbeza dengan penutup berwarna hitam yang digunakan sebelum ini. Bukan itu sahaja, kad grafik ini juga hadir dengan papan litar berwarna hitam, berbeza juga dengan sebelum ini yang menggunakan papan litar berwarna hijau. Sama seperti sebelum ini, ia menggunakan dua kipas penyejuk bersaiz 10mm untuk mengalirkan haba daripada bongkah penyejuk di bawah penutup.

Dari segi sambungan, ia dilihat hadir dengan jumlah palam output yang sama, dan menggunakan gabungan palam kuasa PCIe 8-pin dan 6-pin, dan dijangka akan hadir dengan prestasi yang sama seperti kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070,

Model kad grafik kedua, yang dijangka ialah model yang mempunyai kemampuan grafik untuk harga lebih mampu milik, memperlihatkan rekaan satu kipas sahaja, bersama-sama rekaan yang jauh lebih padat berbanding dengan model 512EU.

Ia dijangka bahawa kad grafik ini boleh digunakan untuk komputer gaming kelas asas, dan dijangka mempunyai tahap prestasi sekitar sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050.

Intel dikatakan akan memperkenalkan siri cip pemprosesan Arc untuk peranti komputer riba terlebih dahulu di acara Consumer Electronics Show 2022 kelak. Walaupun begitu, mereka juga dijangka akan memperlihatkan barisan kad grafik kelas desktop mereka di acara yang sama.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd