Cari @ Amanz

Dua dekad yang lalu menyimpan fail pada cakera padat adalah perkara normal. Saya sendiri masih mempunyai timbunan cakera yang dibeli semasa di kolej tetapi tidak sempat digunakan selepas tamat pengajian. Anda mungkin ketawa tetapi menghantar kertas kerja dalam CDRW kepada pensyarah adalah perkara normal dua dekad yang lalu. Setiap CDRW mampu menyimpan sehingga 870 MB sahaja. Menerusi teknologi yang dibangunkan oleh University of Southampton, data sehingga 500 TB dapat disimpan storan sebesar sebuah cakera padat.

University of Southampton

Ini adalah sehingga 10,000 kali ganda kepadatan data yang boleh dilakukan pada sebuah cakera Blu-Ray (50GB). Bagi mencapai kepadatan data yang tinggi ini, setiap alur yang ditoreh pada permukaan kaca silika untuk mewakili data digital hanya sebesar 500 x 50 nanometer. Laser dengan kelajuan femtosaat diperlukan untuk melakukan tugas ini. Dalam ujian di makmal, laser boleh menghasilkan 1,000,000 voxel setiap saat yang bersamaan dengan 230 kilobyte sesaat. Proses untuk menyimpan data 500 TB pada permukaan kaca akan mengambil masa 60 hari.

Memang proses menulis data ini perlahan tetapi ia boleh menyimpan data untuk muzium, perpustakaan, dan arkib negara dengan lebih efisien serta tahan lama berbanding cakera optik atau pita magnetik yang digunakan sekarang. Dalam filem sains fiksyen, kerap dilihat data disimpan dalam panel kaca lutsinar. Nampaknya fiksyen menjadi realiti menerusi teknologi yang dibangunkan oleh University of Southampton ini. Kertas kajian telah diterbitkan di dalam jurnal Optica.

Sumber New Atlas

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd