Carian
Ulasan Sony WF-1000XM4 – TWS Terpaling, Lupakan Yang Lain
November 29, 2021 Nazrin

Pada tahun ini, pelbagai jenama peranti telah memperkenalkan dan mula menjual aksesori fon telinga TWS mereka sendiri, yang secara lazimnya hadir dengan pelbagai penawaran harga, dari tanda harga mampu milik, kelas pertengahan dan juga premium, tetapi kebanyakan daripada penawaran-penawaran ini akan hadir dengan pelbagai jenis kompromi dari segi keselesaan, ciri-ciri dan juga kualiti audio.

Sony ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk penawaran audio mereka, jadi apabila mereka melancarkan siri-siri produk TWS tersendiri, ia sedia maklum bahawa penawaran mereka hadir dengan pengetahuan yang mendalam mengenai industri audio.

Beberapa bulan lalu, Sony telah melancarkan model TWS premium terbaru mereka, iaitu Sony WF-1000XM4, yang mana pada pendapat kami ialah penaiktarafan yang sangat ketara apabila dibandingkan dengan model TWS kelas premium mereka sebelum ini, iaitu Sony WF-1000XM3.

Spesifikasi Dan Rekaan

Sony WF-1000XM4
JenisFon dalam telinga
Mikrofon6
Bateri8 Jam ANC, 24 Jam Berterusan
PengecasanUSB-C, 1.5 jam penuh
Qi, 3 jam penuh
15 minit cas 1 jam penggunaan
Cip AudioTersendiri
CODECAAC, DSEE Extreme, LDAC
Sokongan AplikasiAndroid, iOS
Sokongan pembantu mayaYa
KawalanButang sesentuh
Kemampuan kalis airIPX4
Harga JualanRM 1049

Salah satu kritikan utama untuk fon telinga WF-1000XM3 sebelum ini ialah bagaimana saiz kotak pengecasan fon telinga tersebut terlalu besar untuk dimuatkan dalam poket seluar ataupun baju. Dalam pada itu, rekaan fon telinga model tersebut juga dilihat terlalu besar dan bahagian pad sesentuhnya terlalu kecil.

Dengan model WF-1000XM4, Sony nampaknya telah mendengar keluhan para pengguna fon telinga model sebelum ini, dan membuat pembaharuah yang dilihat sangat drastik kepada rekaan fon telinga terbaru mereka. Dengan fon telinga ini, ia dapat dilihat melalui rekaan pakej kotak yang kini menggunakan bahan kitar semula yang juga hadir dengan saiz lebih kecil.

Didalamnya ialah panduan untuk mengaktifkan fon telinga ini, kabel pengecasan USB Type-A ke USB Type-C dan beberapa pilihan bud telinga yang diperbuat daripada bahan memory foam. Saiz yang dipasangkan bersaiz medium, manakala jika anda memerlukan putik bersaiz kecil ataupun besar, kedua-dua pilihan ini dimuatkan juga di dalam kotak ini.

Beralih kepada rekaan TWS WF-1000XM4 ini sendiri, seperti yang dikatakan, ia hadir dengan rekaan melengkung yang padat dan mesra poket. Ia hadir dengan pilihan warna putih ataupun hitam, dan mampu mengecas fon telinga yang tersimpan didalamnya, memberikan TWS ini jangka hayat bateri selama 24 jam apabila dicas dengan penuh.

Bercakap mengenai pengecasan, pengguna mempunyai dua pilihan pengecasan dengan fon telinga ini. Anda boleh memilih untuk mengecas WF-1000XM4 ini dengan kabel USB Type-C ataupun menggunakan pengecasan nirwayar Qi sekiranya anda mempunyai sebuah pad pengecasan tersebut. Pengecasan dengan kedua-dua cara ini akan mengambil masa sekitar dua jam dari kosong ke penuh.

Selain daripada rangka pengecasan, Sony juga dilihat telah memperkenalkan rekaan serba padat untuk unit fon telinga itu sendiri. Apabila dibandingkan dengan model sebelum ini yang lebih berbentuk oblong, WF-1000XM4 mempunyai rekaan lebih padat, disamping memuatkan komponen-komponen yang sama.

Selain daripada muat dalam telinga yang lebih selesa, perkara yang saya paling suka mengenai rekaan baru ini ialah keseluruhan permukaan belakang fon teling ini boleh disentuh dengan mudah untuk mengaktifkan fungsi-fungsi pintas untuk mengakses pelbagai fungsi pada fon telinga ini.

Apa Yang Baru?

Sekiranya Sony WF-1000XM3 dilihat mempopularkan penggunaan ciri pembatalan hingar aktif ANC pada fon telinga TWS, model ini hadir dengan sejumlah fungsi baru yang diperlihatkan melalui fon kepala terbaru mereka, Sony WH-1000XM4.

Dengan fon telinga ini, fungsi terbaru yang dapat diperlihatkan ialah Speak-to-Chat, yang mana apabila mikrofon terbina menangkap perbualan daripada pengguna, ia akan menjedakan audio daripada aplikasi dan mengaktifkan mod Ambient Sound untuk membolehkan anda memulakan perbualan dengan cepat dan mudah.

Selepas perbualan tersebut tamat, fon telinga ini akan memahami bahawa ini adalah isyarat untuk menyambung audio peranti untuk pengguna. Sony turut memperbaiki fungsi-fungsi sedia ada seperti pembatalan hingar dan Ambient Sound yang diperkenalkan sebelum ini.

Bagi saya, fungsi yang paling mengejutkan pada iterasi fon telinga WF-1000 XM4 ini ialah bagaimana ciri Ambient Sound tersebut memanfaatkan mikrofon-mikrofon terbina ini untuk membolehkan pengguna mendengar bunyi persekitaran dengan jelas walaupun mendengar lagu ataupun menonton video pada tahap bunyi yang lantang.

Fungsi Ambient Sound ini digunakan bersama-sama dengan ciri Speak-To-Chat untuk membolehkan anda bercakap dan mendengar perbualan dengan cepat dan mudah tanpa perlu anda melakukan apa-apa pun. Bagi saya, ia cukup hebat bagaimana Sony mampu memperkenalkan fungsi ini dalam TWS mereka dengan cara pengaktifan yang sama.

Secara lazimnya, mereka yang menggunakan fon telinga TWS akan menstrim lagu daripada perkhidmatan-perkhidmatan penstriman lagu daripada Spotify, Apple Music dan sebagainya. Jujur saya katakan bahawa walaupun Spotify boleh dikatakan hadir dengan pilihan lagu yang cukup banyak sekali, apabila dibandingkan, kualiti audionya mungkin adalah diantara yang paling malap.

Dengan WF-1000XM4, Sony juga dilihat memperkenalkan DSEE Extreme, iaitu sebuah fungsi dimana fon telinga ini akan menaiktarafkan kualiti audio yang didengari, dan bagi saya, berbanding dengan audio yang distrim, fungsi ini lebih berfungsi untuk fail yang disimpan dalam peranti berbanding dengan lagu-lagu yang diakses melalui perkhidmatan penstriman.

Akhir sekali Sony akhirnya menyertakan sokongan codec LDAC yang selama ini hanya ditawarkan pada fon kepala mereka sahaja. Kepada pengguna Android, LDAC ialah coded dengan kadar bit tertinggi untuk pengalaman audio terbaik. Ini menjadikan WF1000-XM4 antara sebilangan kecil TWS di pasaran dengan sokongan LDAC dan menjadikannya lebih baik berbanding WF1000-XM3.

Pengalaman Pengguna

Sebagai bekas pemilik fon telinga model WF1000-XM3 sebelum ini, fon telinga WF-1000XM4 boleh dikatakan satu penambahbaikan yang baik dalam hampir semua aspek, mungkin kecuali untuk kualiti audio, kerana pada pendapat saya, kualiti audio kedua-dua fon telinga ini hampir berada pada tahap yang sama. Ini bukanlah sesuatu yang buruk kerana kualiti audio fon telinga model sebelum ini adalah sangat baik sekali.

Rekaan bekas dan fon telinga yang lebih mesra poket, digabungkan dengan ciri-ciri baru yang diperkenalkan Sony pada fon telinga ini membuatkannya salah satu daripada fon telinga kelas premium yang terbaik pernah saya gunakan. Rekaan semula fon telinga yang menggunakan keseluruhan permukaan belakangnya sebagai permukaan sesentuh juga memperbaiki pengalaman penggunaan fon telinga ini dengan baik sekali.

Seperti yang saya katakan sebelum ini juga, fungsi-fungsi sedia-ada seperti pembatalan hingar aktif dan Ambient Sound telah diperbaiki dan kini lebih hebat, manakala fungsi baru seperti Speak-To-Chat cukup berguna sekali. Cuma kadang-kala dengan fungsi baru ini, mikrofon WF-1000XM4 kadang-kala akan menjadi terlalu sensitif ataupun tidak cukup sensitif dimana fungsi tersebut diaktifkan dengan tidak sengaja, ataupun tidak diaktifkan walaupun apabila saya mula bercakap.

Perisian

Mengenai penggunaan perisian Sony Headphones, sekiranya anda sudahpun memiliki sebuah aksesori audio nirwayar keluaran Sony, anda pastinya sudah biasa dengan antaramuka fon telinga ini. Melalui aplikasi ini, anda boleh melihat jangka hayat bateri, mengubahsuai tetapan audio mengikut tetapan sedia ada ataupun menukarnya secara manual.

Melalui aplikasi ini, anda juga boleh mengubahsuai tetapan butang pintasan pada fon telinga ini, tetapi dengan fon telinga ini, anda hanya boleh memilih senarai tetapan sedia ada, dan tidak boleh menetapkan satu-satu fungsi pada tetapan untuk sekali tekan, dua kali tekan, tiga kali tekan dan tekan berpanjangan walaupun fon telinga ini hadir dengan fungsi-fungsi tersebut.

Fon telinga WF-1000XM4 juga hadir dengan sokongan Audio 360 yang akan mengambil imbasan lubang telinga anda untuk pengalaman audio yang lebih mendalam, khususnya jika anda menggunakan perkhidmatan audio seperti Deezer, Amazon Music, Tidal ataupun nugs.net. Setup untuk Sony 360 Reality Audio ini juga tidak memakan begitu banyak masa, dan sekiranya anda menggunakan mana-mana perkhidmatan penstriman tersebut, saranan kami ialah untuk anda memanfaatkan fungsi ini.

Walaupun begitu, satu aspek yang masih lagi tidak diperbaiki ialah masa yang lama diperlukan untuk menaiktarafkan perisian pemandu fon telinga ini, yang masih mengambil masa sekitar 20-30 minit setiap kali ia perlu dilakukan.

Bateri

Sony mengatakan bahawa apabila dicas dengan penuh, fon telinga WF-1000XM4 ini hadir dengan jangka hayat bateri sekitar hampir lapan jam dengan fungsi ANC dipasang sepanjang masa. Rangka pengecasan ini boleh mengecas fon telinga ini sehingga penuh untuk dua kali pengecasan penuh, menjadikan jangka hayat penuh fon telinga ini sekitar 24 jam.

Sekiranya anda tidak menggunakan fungsi pembatalan hingar aktif, Sony mengatakan bahawa fon telinga ini boleh bertahan dengan lebih lama, sehingga 12 jam dengan satu pengecasan penuh. Walaupun begitu, saya jangkakan mereka yang menggunakan fon telinga ini akan mahu mengaktifkan fungsi ANC tersebut sepanjang masa, tetapi ini merupakan butiran yang pastinya akan diterima baik oleh peminat siri TWS ini.

Sepanjang saya menggunakan fon telinga ini sewaktu pergi dan pulang dari kerja, saya dapati saya hanya perlu mengecas fon telinga ini sekali setiap minggu, dan walaupun itu, pengecasan dari kosong ke penuh hanya memakan satu jangka-masa di antara 90-120 minit sahaja.

Pengecasan menggunakan kabel USB-C juga memastikan bahawa sekiranya perlu, saya hanya membawa kabel USB Type-C yang pendek untuk mengecas fon telinga ini tanpa sebarang masalah. Malah, sekiranya anda mempunyai peranti dengan ciri reverse-charging menggunakan teknologi pengecasan nirwayar Qi, fon telinga ini menyokongnya dan anda boleh menggunakan peranti anda untuk mengecas fon telinga ini dengan cepat dan mudah.

Fon Telinga TWS Paling Berbaloi Di Pasaran

Penawaran fungsi-fungsi seperti pembatalan hingar aktif, Ambient Sound, Speak-to-Chat dan juga kualiti audio yang hebat dan boleh diubahsuai mengikut kesesuaian pengguna menjadikan fon telinga Sony WF-1000XM4 ini sebuah fon telinga TWS yang cukup berbaloi untuk dibeli.

Walaupun harga penawaran asalnya ditetapkan pada RM1099, Sony Malaysia sering menawarkan diskaun-diskaun yang besar untuk fon telinga ini, dimana ia dilihat di Shopee dan Lazada pada harga sekitar RM839-RM859, khususnya sewaktu hari jualan untuk platform-platform atas talian ini.

Langkah terbaik daripada Sony bagi saya ialah mereka mendengar kritikan pengguna fon telinga sebelum ini dengan mengubahsuai rekaan fon telinga ini untuk menjadikannya lebih padat dan mesra pengguna. Bagi mereka yang menggunakan fon telinga WF-1000XM3 sebelum ini, saya akan katakan bahawa ia berbaloi menaiktarafkan fon telinga anda kepada model terbaru ini.

Pro

  • Pembaharuan ketara dari segi rekaan
  • Ciri-ciri sedia ada yang diperbaiki
  • Ciri-ciri baru yang sangat berguna
  • Kualiti audio
  • Sokongan LDAC pada TWS.

Kontra

  • Fungsi DSEE Extreme tidak menampakkan peningkatan kualiti audio ketara
  • Mikrofon yang kadang-kala tidak cukup sensitif tetapi kadang kala terlalu sensitif
  • Kemas kini pemandu yang masih mengambil masa lama
Komen