Apple Mengehadkan Pengeluaran iPad Untuk Memberi Keutamaan Kepada iPhone 13

Diterbitkan pada Nov 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa situasi bekalan komponen dilihat sangat teruk sehinggakan Apple juga terkesan akibat isu ini. Terkini, Nikkei Asia melaporkan bahawa diantara sebab mengapa pengeluaran peranti mereka, khususnya iPad dilihat tidak dapat mengikuti unjuran penganalisa pasaran ialah kerana Apple mengurangkan pengeluaran peranti iPad untuk membekalkan iPhone 13 dengan lebih banyak komponen dalaman.

Menurut laporan tersebut, Apple telah mengurangkan pengeluaran siri tablet iPad mereka sebanyak 50 peratus dalam dua bulan sebelum peranti iPhone 13 dilancarkan. Perkara ini boleh dilakukan kerana sejumlah komponen teras dalam kedua-dua peranti adalah sama, jadi penukaran dari segi pengeluaran tidak begitu sukar untuk dilakukan.

Perkara ini berlaku kerana melalui analisa pasaran, Apple menjangkakan bahawa permintaan untuk peranti iPhone 13 adalah lebih tinggi berbanding dengan iPad dalam jangkamasa yang sama untuk tiga bulan terakhir tahun 2021 ini.

Dalam pada itu, mereka juga tahu bahawa jangkamasa permintaan tertinggi untuk sebuah peranti iPhone baru ialah dalam beberapa bulan pertama pelancaran peranti tersebut, jadi pemindahan bekalan komponen ini adalah keputusan perniagaan yang perlu dilakukan untuk memastikan Apple dapat memenuhi permintaan ini sebelum bakal pelanggan berasa tawar hati dan mendapatkan peranti daripada jenama lain.

Walaupun begitu, ini boleh dikatakan keputusan yang terpaksa diambil oleh Apple, khususnya apabila peranti iPad dilihat mencatatkan pertumbuhan yang mendadak pada tahun ini. Dari segi penguasaan pasaran, tablet iPad dilihat menguasai 32.9 peratus daripada pasaran tablet dunia dan adalah peranti tablet nombor satu global, khususnya dengan penawaran peranti berkuasa dan ekosistem perisian yang sangat baik.

Sumber: Nikkei Asia

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami