Pada tahun lepas, apabila NVIDIA melancarkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 mereka, mereka telah memperlihatkan palam kuasa 12-pin pada kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 dan GeForce RTX 3070 mereka, yang pada waktu tersebut merupakan sesuatu yang sangat baru, dan memerlukan penyesuai untuk menggunakan palam tersebut dengan menggabungkan dua palam 8-pin PCIe.
Baru-baru ini, sewaktu acara pengumuman komponen-komponen terbaru daripada ASUS, syarikat teknologi tersebut mengesahkan bahawa palam 12-pin NVIDIA tersebut dilaporkan melepasi piawaian kuasa untuk teknologi PCIe 5.0, iaitu teknologi penghantaran data terbaru yang diperlihatkan melalui pelancaran cip pemprosesan Intel Alder Lake terbaru.

ASUS mengatakan bahawa bukan itu sahaja, mereka mengatakan bahawa bekalan kuasa ASUS ROG Thor II mereka akan hadir dengan kabel 12-pin tersebut, yang bermakna mereka yang memiliki kad Founders Edition keluaran NVIDIA yang terbaru tidak memerlukan penyesuai palam untuk menyambungkan kad grafik ini kepada bekalan kuasa mereka.
Menariknya, PCI-SIG, badan penyelia teknologi PCIe turut mengumumkan palam 16-pin untuk digunakan untuk kad-kad grafik yang akan memanfaatkan sambungan PCIe 5.0 di masa akan datang. Ia dilaporkan bahawa 12 daripada 16 pin tersebut adalah pin kuasa, dan empat lagi adalah pin-pin tambahan. Apabila ia dilihat pada sudut ini, ia dapat diperlihatkan bahawa tidak salah untuk menjangkakan bahawa NVIDIA sudahpun hadir dengan kabel yang menyokong teknologi tersebut sejak tahun lepas.
Satu kabel 12-pin NVIDIA ini dilaporkan mampu mengalirkan kuasa setinggi 640W, dan ia dijangka bahawa kad-kad grafik kelas premium akan datang akan hadir dengan jumlah kuasa yang sangat tinggi apabila dilancarkan kelak.
Sumber: Tom’s Hardware