Beberapa bulan yang lalu, Valve telah memperkenalkan konsol permainan terbaru mereka yang dinamakan Steam Deck, yang membolehkan pemilik untuk memainkan permainan-permainan pada platform Steam dari mana-mana sahaja.
Malah, Steam telah memperkenalkan program Deck Verified untuk memastikan permainan-permainan tertentu boleh dimainkan pada konsol tersebut tanpa masalah.
Terkini, Valve telah mengumumkan acara Steamworks Virtual Conference, yang mana salah satu acara utamanya ialah mengenai konsol tersebut. Valve mengatakan bahawa mereka akan mengadakan sebuah sesi dimana jurutera-jurutera yang membangunkan konsol tersebut akan menerangkan kepada pembangun permainan komputer bagaimana untuk memastikan permainan mereka boleh digerakkan pada konsol tersebut tanpa masalah.
Dalam pada itu, ia juga dijangka bahawa APU terbaru AMD, yang dinamakan Van Gogh akan diperlihatkan pada acara tersebut. APU ini terdiri daripada empat teras CPU Zen 2 dan cip grafik RDNA 2 terbina yang menguasakan kemampuan perkomputeran konsol ini.
Secara teknikalnya, APU Van Gogh ini telah diubahsuai untuk dimuatkan dalam konsol Valve Deck ini, tetapi AMD dijangka turut akan memperkenalkan model-model APU yang lain tidak lama lagi juga untuk komputer berkuasa rendah yang digunakan untuk HTPC dan sebagainya.
Steamworks Virtual Conference akan diadakan pada 12 November ini, dan akan diadakan secara percuma, tetapi untuk menghadiri acara ini, anda perlu mengesahkan diri anda sebagai pembangun Steamworks terlebih dahulu.
Sumber: Valve