Pada acara hari ini, Realme turut mengumumkan penawaran Realme Pad untuk pasaran tempatan. Seperti yang diketahui umum, ia merupakan tablet pertama keluaran Realme. Pada masa sama, tablet ini juga menggunakan reka bentuk berkonsepkan minimalis yang ringkas.


Bagi yang berminat, Realme Pad ditawarkan pada harga RM899 (3GB/32GB) versi Wi-Fi. Sementara itu, Realme Pad versi LTE pula berharga RM949 (3GB/32GB), RM999 (4GB/64GB) dan RM1,199 (6GB/128GB). Sungguhpun begitu, Realme Pad versi Wi-Fi (3GB/32GB) boleh didapati pada harga lebih rendah iaitu RM799, manakala Realme Pad LTE (3GB/32GB) pula RM849 pada jualan pertamanya kelak. Terdapat beberapa pilihan warna yang boleh dipilih seperti Real Gold dan Real Grey.

Untuk spesifikasi khusus, Realme Pad dilengkapi skrin 10.4-inci LCD beresolusi WUXGA+ (2000×1200 piksel) dengan nisbah skrin ke badan mencapai 82.5%. Seterusnya, ia juga menggunakan bahan binaan berasaskan aluminium secara keseluruhan. Cip MediaTek Helio G88 menjadi pilihan Realme dengan padanan memori sehingga 6GB RAM dan storan dalaman sehingga 128GB. Ia juga menggunakan antaramuka Realme UI for Pad berasaskan Android 11.
Tablet ini juga dibekalkan bateri sebesar 7,100mAh yang menyokong pengecasan 18W, di samping pengecasan berbalik. Sensor sebesar 8-Megapixel turut digunakan untuk sokongan kamera utama dan swafoto. Seterusnya, tablet ini turut dilengkapi empat pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos.