Cari @ Amanz

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini menerbitkan kajian Ivermectin Treatment Efficacy in Covid-19 High-Risk Patients (I-TECH) yang telah dilakukan sejak beberapa bulan yang lalu. Berdasarkan hasil kajian I-TECH ini, Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan COVID-19 sedia ada kerana Ivermectin tidak mencegah penyakit COVID-19 daripada menjadi lebih serius.

Hasil kajian KKM ini selari dengan keputusan kajian yang turut telah dilakukan di Brazil, India dan Colombia. Di Malaysia kajian melibatkan 500 orang pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan kategori 2 atau 3. Rawatan diberikan selama lima hari Ivermectin (0.4mg/kg/hari) kepada kumpulan pertama (kumpulan IVM) dengan satu lagi kumpulan diberikan hanya penjagaan standard (kumpulan SOC).

Kajian I-TECH telah menunjukkan kadar kemerosotan penyakit COVID 19 kepada tahap teruk adalah sama di dalam kumpulan IVM jika dibandingkan dengan kumpulan SOC, iaitu masing-masing pada 21.2 peratus dan 17.3 peratus (OR 1.29 [95% ] CI 0.82-2.02]; p=0.30) . Bagi dapatan yang sama, purata tempoh kemerosotan adalah 3.0 hari bagi kumpulan IVM dibandingkan dengan 2.9 hari untuk kumpulan SOC, namun tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik; p = 0.68.

Dengan kajian selesai, diharap ia akan mengukuhkan lagi keputusan KKM untuk tidak menggunakan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 di Malaysia walaupun didesak oleh beberapa ahli parlimen beberapa bulan yang lalu. Ia juga menidakkan teori konspirasi yang mendakwa penggunaan ubat cacing untuk haiwan ini adalah lebih baik berbanding mengambil vaksin yang sudahpun terbukti selamat.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd