Siri Amazfit GT 3 akhirnya rasmi untuk pasaran tempatan. Terdapat tiga model berbeza yang telah diperkenalkan iaitu Amazfit GTR 3 dan Amazfit GTS 3 yang dijual pada RM649. Seterusnya, Amazfit GTR 3 Pro pula berharga RM929. Bagi yang berminat, kesemua jam tangan pintar boleh didapati bermula hari ini menerusi kedai atas talian rasmi Amazfit di Lazada dan Shopee.

Amazfit GTR 3 Pro adalah model mercu dengan muka jam berbentuk bulan berukuran 1.45-inci AMOLED. Melengkapinya juga adalah dua butang kawalan yang terbina pada bahagian sisi muka jam. Ia juga disertakan dengan sensor biometrik BioTracker PPG yang boleh mengesan kadar nadi, kepekatan oksigen dalam darah, stress dan kadar pernafasan. Dalam pada itu, fungsi pengesanan tidur dan oksigen ketika tidur turut disokong pada jam tangan pintar ini.

Seterusnya, jam tangan pintar ini juga menyokong sehingga 150 mod sukan berbeza. Sokongan GPS, kemampuan ketahanan sehingga 5 ATM dan pembantu maya Alexa turut disertakan. Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai sokongan mikrofon dan pembesar suara yang membolehkannya digunakan untuk menjawab panggilan telefon menerusi tambatan bluetooth. Ketahanan bateri adalah mencapai 30 hari lamanya dalam mod penjimatan, 12 hari dalam penggunaan biasa dan 35 jam dengan GPS aktif sepanjang masa.

Untuk Amazfit GTR 3 pula, ia mempunyai sebahagian besar aspek yang sama dengan versi pro. Cumanya, skrin adalah lebih kecil iaitu 1.39-inci AMOLED. Kemudian, tiada kebolehan untuk menjawab panggilan telefon tetapi pembantu maya Alexa masih boleh digunakan. Seterusnya, ketahanan bateri pula adalah mencapai 35hari lamanya dalam mod penjimatan, 21 hari dalam penggunaan biasa dan 35 jam dengan GPS diaktifkan.

Akhir sekali, Amazfit GTS 3. Ia menampilkan rekaan yang berbeza dengan skrin berbentuk segi empat berukuran 1.75-inci AMOLED. Sungguhpun begitu, ia mempunyai spesifikasi yang sama dengan Amazfit GTR 3. Cumanya, ketahanan bateri adalah hanya sehingga 20 hari dalam mod penjimatan, sehingga 12 dalam penggunaan biasa dan 20 jam dengan GPS aktif sepanjang masa.
- Beli : Amazfit GTR 3 Pro Di Shopee
- Beli : Amazfit GTR 3 Di Lazada
- Beli : Amazfit GTS 3 Di Shopee