Selain daripada WhatsApp, Telegram juga merupakan suatu aplikasi pemesejan yang kerap digunakan oleh orang ramai. Dalam perkembangan terkini, aplikasi pemesejan ini dilihat menerima beberapa kemaskini utama untuk menjadikannya lebih baik.
Melaluinya, Telegram 8.2 kini hadir dengan ciri bar tarikh serba baharu bagi membolehkan pengguna menatal ke atas atau bawah untuk tujuan perkongsian media yang lebih cepat. Ia juga boleh dizum untuk pengalaman tontonan dan menatal yang lebih baik.

Dalam pada itu, terdapat juga fungsi paparan kalendar untuk perkongsian media – di mana ia akan memaparkan antaramuka kalendar dengan pratonton perkongsian media. Ini termasuklah foto dan video. Fungsi ini sekaligus memudahkan proses carian semula setiap kandungan media terdahulu dalam masa yang singkat.
Bukan itu sahaja, fungsi kumpulan atau saluran turut ditambahbaik dengan tetapan “Request Admin Approval” yang memberikan lebih banyak kawalan kepada pentadbir terhadap pengguna yang boleh sertai atau melihat mesej dalam sesuatu kumpulan sembang. Pada masa sama, pentadbir juga mempunyai kebolehan untuk menerima atau menolak sesuatu permintaan.

Di samping itu, fungsi ini juga boleh digunakan pada mana-mana pautan dalam bahagian “Additional Invite Links”. Selain itu, terdapat juga kebolehan untuk menetapkan semua pautan dengan nama tertentu bagi memudahkan penggunaan.
Tidak habis disitu, kemaskini turut memperkenalkan sehingga 8 tema baharu untuk ruang sembang pada peranti iOS. Ia direka semula dengan tema dan animasi bewarna-warni yang menarik. Menurut Telegram, ia juga akan ditawarkan pada peranti Android pada masa akan datang.

Selain itu, aplikasi Telegram pada peranti iOS turut hadir dengan fungsi perkongsian lokasi daripada menu bar mesej, kapsyen automatik untuk lampiran media, tetapan untuk iOS 15 kini dilengkapi ikon baru dan pilihan untuk emoji juga lebih interaktif.
Sumber : Telegram