Carian
Bekalan Cip Yang Tidak Mencukupi Menyukarkan Pembangunan Peranti Baru Untuk Nintendo
November 5, 2021 Nazrin

Beberapa hari lalu, ia telah dilaporkan bahawa Nintendo terpaksa mengurangkan pengeluaran konsol permainan Nintendo Switch dan Switch OLED mereka kerana kekurangang bekalan komponen untuk menghasilkan peranti tersebut.

Terkini, Nintendo mengatakan bahawa isu bekalan komponen ini juga telah menyebabkan kesukaran untuk mereka menyelidik dan membangunkan peranti baru, khususnya di waktu dimana syarikat-syarikat seperti Sony dan Microsoft telah melancarkan konsol permainan generasi terbaru mereka, iaitu Sony PlayStation 5 dan Microsoft Xbox Series X dan Series S.

Nintendo Switch

Presiden Nintendo, Shuntaro Furukawa mengatakan bahawa bekalan komponen cip tidak dijangka akan diperbaiki dalam jangka masa terdekat ini, dan selain daripada menyebabkan masalah kepada pengeluaran konsol mereka sedia ada, isu ini juga menyebabkan masalah untuk bahagian pembangunan mereka.

Menurut Ko Shiota, ketua pembangun produk baru di Nintendo, masalah bekalan cip ini juga mengganggu pelan mereka untuk menguji teknologi-taknologi baru yang boleh digunakan dalam konsol permainan akan datang mereka. Oleh kerana ini, Nintendo terpaksa melakukan beberapa pengubahsuaian dari segi komponen yang digunakan, dan mungkin ini adalah sebab utama mengapa Nintendo Switch OLED masih lagi menggunakan cip SoC sama yang digunakan dalam konsol Nintendo Switch v2 mereka sebelum ini.

Sumber: Reuters

Komen