Pixel Fold dikatakan akan diperkenalkan pada tahun ini, iaitu peranti dengan skrin boleh-lipat pertama Google. Dengan hadirnya Android 12L yang memfokuskan penggunaan skrin besar dan boleh-lipat, kehadiran peranti ini sudah semakin hampir. Selepas Huawei, Samsung, Xiaomi dan Royole, kini giliran Google pula.
Walaupun nampak menarik dan kita tahu skrin adalah jenis OLED dariapada Samsung. Tetapi tahukah anda yang Google juga mungkin akan mengikut strategi Samsung, kamera bukan perkara penting pada peranti ini. Ini kerana Pixel Fold dikatakan akan menggunakan sistem kamera yang lebih lemah berbanding Pixel 6.

Kamera utama dikatakan adalah sensor 12.2MP IMX363 yang sama dengan Pixel 5, Pixel 4, Pixel 3 serta dengan sensor 12MP sudut ultra lebar. Untuk kamera swafoto pula, sensor di dalam adalah 8MP dan di luar juga kekal dengan 8MP.
Jelas di sini yang Pixel Fold akan menjadi peranti konsep dan percubaan Google sahaja dan kelak Pixel Fold 2 nanti mungkin akan menjadi lebih hebat. Google mungkin hanya ingin berkesperimen dengan Android 12L dan Tensor mereka pada peranti seperti ini sebelum pergi lebih jauh.