Cari @ Amanz

Digital Nasional Berhad, atau DNB adalah firma yang bertanggungjawab dalam menguruskan infrastruktur rangkaian 5G di Malaysia. DNB akan menyediakan pelbagai infrastruktur, dan syarikat telekomunikasi akan menawarkan perkhidmatan kepada pengguna awam.

Terkini, pihak DNB melalui MalayMail, mengatakan mereka akan memaparkan harga jualan kos untuk data 5G secara terbuka kepada awam. Syarikat telekomunikasi juga dijangka akan membayar nilai harga yang lebih rendah untuk setiap GB 5G, berbanding dengan data rangkaian 4G pada hari ini.

5G Laju

Menurut pihak DNB, langkah ini akan membawa kepada kos dan pakej yang berharga lebih rendah kepada pengguna. Memandangkan harga akan dipaparkan secara terbuka, maka pengguna boleh membuat perbandingan dan melihat bagaimana penyedia telekomunikasi mengenakan cas kepada pengguna, serta kos yang terlibat.

Mengikut penganalisa UBS Research, harga setiap GB untuk rangkaian 5G dianggarkan sekitar 50 sen, yang mana jauh lebih murah berbanding hari ini yang memakan kos sekitar RMM1.10 setiap GB.

Rangkaian 5G dijangka diperkenalkan pada Disember 2021 ini, di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Cyberjaya. Dengan berbaki beberapa minggu lagi, kita akan mendengar lanjut berkenaan penawaran 5G ini tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd