Cari @ Amanz

Ulasan Garmin Forerunner 55 – Jam Tangan Khusus Buat Pelari Baru

Link Copied!

Bagi sesiapa yang sudah terbiasa dengan rangkaian jam tangan pintar daripada Garmin. Anda semestinya sudah sedia maklum bahawa jenama ini mempunyai pilihan pelbagai produk peranti boleh-pakai untuk menjadikan aktiviti bersukan sebagai satu amalan serta gaya hidup sihat. Salah satu daripadanya adalah Garmin Forerunner 55 yang dicipta khusus untuk olahraga. Adalah tidak dinafikan yang kadang kala, sesetengah daripada kita mungkin menganggap bahawa jam tangan pintar yang mengkhususkan olahraga ini hanya sesuai untuk atlet atau pelari profesional sahaja.

Ternyata rupa-rupanya, Garmin Forerunner 55 sebenarnya direka khusus untuk pelari baru. Pendek kata, jam tangan ini adalah antara pilihan cukup baik bagi mereka mula beransur-ansur ke arah gaya hidup yang lebih sihat. Ia juga hadir dengan rekaan yang tahan lasak, sesuai untuk sejumlah besar aktiviti yang melibatkan kecergasan. Dengan harga jualan RM960, adakah ia berbaloi dimiliki? Ini ialah ulasan ringkas kami untuk penjejak kesihatan dari Garmin ini.


Spesifikasi Peranti:

SPESIFIKASIGARMIN FORERUNNER 55
JenisJam tangan dengan penjejak kesihatan
Paparan1.4-inci (26.3 mm)
208 x 208 pixels
Pemproses
Muatan Dalaman
BateriMod tangan pintar : sehingga 14 hari
Mod dengan GPS : sehingga 20 jam
SIM/TelefoniTidak
SensorGPS, GLONASS, GALILEO, Accelerometer
NFCTidak
InframerahTidak
Tahap Ketahanan5 ATM
Diameter42 x 42 x 11.6 mm
WarnaBlack, Monterra Grey, Aqua & White
Harga JualanRM960

Reka Bentuk:

Dari segi reka bentuk, Garmin Forerunner 55 mempunyai rekaan yang sama seperti model Garmin Forerunner 45 yang dilancarkan sekitar tahun lalu. Ia menampilkan penggunaan skrin bermuka bulat berwarna bersama lima butang fizikal yang terbina pada sisi. Saiz skrin pula adalah berukuran 1.04-inci dan beresolusi 208 x 208 piksel. Tidak ada sokongan skrin sesentuh, sebaliknya navigasi boleh dibuat dengan menggunakan kelima-lima butang tadi.

Butang kiri bahagian atas membolehkan anda mengawal lampu latar belakang. Kemudian, butang kiri di tengah dan bawah pula untuk menatal dan mengakses mod penjejakan. Seterusnya, anda boleh memulakan memulakan dan menghentikan aktiviti dengan menekan butang kanan di atas. Akhir sekali, butang kanan di bawah pula berfungsi sebagai butang back untuk kembali ke tetapan terdahulu. Kemasan kesemua butang juga adalah baik dan kukuh sehinggakan langsung tidak terasa murahan.

Keseluruhan tubuh diperbuat daripada bahan berasaskan plastik yang kukuh. Ianya cukup tahan lasak dan tiada keperluan untuk membeli kerangka pelindung. Kami juga sudah beberapa kali terlanggar beberapa objek di sekeliling seperti pintu, meja dan sebagainya. Tetapi, tiada sebarang kerosakan kekal yang dapat dilihat padanya. Beralih ke bahagian belakang, adanya sensor denyutan nadi bersama pin pengecasan tersendiri. Tiada sistem pengecasan nirwayar yang disokong.

Seterusnya, Garmin Forerunner 55 dipadankan dengan tali berasaskan silikon dengan lebar 22mm. Penggunaannya juga menjadi lebih mudah apabila Garmin menggunakan cangkuk standard padanya. Ia juga boleh ditukar ganti dengan mudah mengikut kesesuaian. Selain itu, jumlah lubang juga adalah mencukupi bagi membolehkannya digayakan oleh pelbagai pengguna yang mempunyai saiz pergelangan tangan kecil atau besar. Tidak kira sama ada lelaki, wanita, dewasa mahupun remaja.

Model Garmin Forerunner 55 yang kami ulas dilengkapi kemasan bewarna hitam pusam. Ia mungkin satu warna yang klise untuk kebanyakan jam tangan pintar. Tetapi, hitam adalah warna yang tidak mudah kotor kalau digunakan untuk sebarang latihan kecergasan. Begitu juga dengan warna Monterra Grey, yang mana Garmin memilih rona kelabu sebagai tema utama. Apalagi, ia adalah jam tangan pintar yang mengkhususkan olahraga. Penjagaan yang rapi amat diperlukan untuk kemasan dengan warna yang terang seperti Aqua dan White. Tetapi jika anda tidak bersetuju dengan pendapat kami, tidak mengapa. Anda boleh sahaja memilih kemasan yang sesuai dengan cita rasa masing-masing.

Ikhlas kami katakan, Garmin Forerunner 55 adalah jam tangan pintar yang selesa untuk dipakai sepanjang masa. Untuk pengetahuan, kami sudah menggunakan jam tangan pintar ini selama beberapa bulan. Ia juga ringan sehinggakan langsung tidak terasa seperti dipakai. Ini termasuklah sewaktu kami menggunakannya untuk beriadah dan tidur. Seterusnya, sokongan navigasi menggunakan butang fizikal sepenuhnya boleh menimbulkan impak yang positif atau negatif bergantung pada sudut pandangan masing-masing.

Ianya positif kerana lebih mudah digunakan dan responsif, apalagi ketika jari berpeluh selepas berlari. Dari sudut negatif, ia mengambil sedikit masa untuk dipelajari bagi mereka yang belum terbiasa dengan penggunaan sebegini. Sungguhpun begitu, usah risau kerana Garmin telah melabel setiap satu fungsinya bagi mengelakkan kekeliruan. Kualiti skrin pula ternyata asas, dengan piksel dapat dilihat dengan jelas. Namun, kami tidak mengalami masalah untuk penggunaan dalam kebanyakan keadaan sepanjang ulasan dibuat. Meskipun skrinnya bersaiz agak kecil, tetapi anda masih boleh melihat setiap elemen serta statistik masa nyata dengan mudah.


Antaramuka & Penggunaan

Garmin Forerunner 55 mempunyai sistem operasi yang tersendiri. Kalau ikut pandangan mata kami, antaramuka nampak terlalu ringkas dan langsung tiada daya tarikan. Ia juga memaparkan banyak data dalam satu paparan dan agak rumit untuk digunakan. Keadaan ini menyebabkan kami mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan kawalannya. Sungguhpun begitu, pengalaman penggunaan sudah pastilah amat berbeza dari pengguna ke pengguna.

Penggunaan aplikasi Garmin Connect dan Connect IQ adalah perlu untuk pengalaman yang lebih menyeluruh. Ia boleh dimuat-turun pada peranti Android dan iOS. Garmin Connect adalah aplikasi utama yang membolehkan anda untuk menyemak segala info berkaitan kecergasan yang direkod oleh jam tangan. Kebanyakan tetapan penting untuk jam tangan ini boleh dilakukan menerusi aplikasi berkenaan. Sementara itu, Garmin Connect IQ pula merupakan sebuah gedung khusus untuk memuat aplikasi, widget dan muka jam yang kebanyakannya adalah percuma.

Untuk lebih menarik, anda juga boleh menyesuaikan muka jam dengan gambar sendiri atau insan tersayang untuk lebih dramatik. Bagi pengguna jam tangan Garmin sedia ada, majoriti tetapan dan data lama anda masih boleh dipindahkan. Aplikasi bagaimanapun agak terhad yang mana lebih memfokuskan kepada kecergasan dan kesihatan. Kemudian, tiada ruang untuk storan muzik atau pembayaran nirtunai menerusi Garmin Pay.

Dari segi sensor utama, Garmin Forerunner 55 didatangkan dengan sistem GPS secara terbina yang serasi dengan GLONASS dan GALILEO. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa lagi sensor untuk kecergasan dan kesihatan pengguna yang disertakan. Antaranya seperti sensor pemantauan kadar degupan jantung, latihan bernafas, penjejakan aktiviti, penjejakan pola tidur, pemantauan tahap tekanan, VO2 max, kitaran haid wanita, penjejakan hamil dan sebagainya. Di samping itu, fungsi PacePro turut disertakan bagi membolehkan anda memilih jarak dan anggaran masa penamat untuk sesuatu latihan. Melaluinya, anda boleh memperolehi jangka masa lebih strategik bagi membolehkan anda beriadah dengan cara yang betul.

Seterusnya, fungsi yang bertindak sebagai penasihat pemulihan pula akan menyediakan anggaran waktu rehat yang bersesuaian dengan keperluan badan sehingga pulih sepenuhnya selepas sesi latihan. Sejajar dengan itu, ia juga disertakan dengan pelbagai jenis mod sukan. Ada larian, yoga, berbasikal, berjalan, HIIT dan sebagainya.

Sekiranya masih ada yang was-was untuk keluar bersukan. Usah risau, kerana masih terdapat beberapa latihan kecergasan yang boleh dilakukan secara Indoor. Misalnya seperti Indoor Track, Virtual Run, Walk Indoor, Bike Indoor dan banyak lagi. Anda juga boleh menyertai komuniti Garmin – di mana, ia membolehkan anda berkomunikasi bersama pengguna Garmin yang lain secara dalam talian. Jam tangan juga meminta bantuan secara automatik menerusi fungsi SOS.

Secara purata, kemampuan menjejak kesihatan dan kecergasan agak tepat. Sungguhpun begitu, komen negatif harus kami berikan kepada kemampuan sambungan isyarat GPS yang kurang memuaskan. Jam tangan ini mengambil masa yang lama untuk mengunci GPS setiap kali digunakan. Boleh dikatakan, ia mengambil masa hampir tiga minit untuk memperoleh isyarat – bergantung juga kepada lokasi.


Telefoni

Garmin Forerunner 55 menyokong fungsi pemberitahuan pintar. Melaluinya, anda boleh menerima pelbagai kandungan seperti e-mel, teks, notifikasi dan panggilan masuk daripada telefon pintar yang disambungkan. Namun begitu, kesemua pemberitahuan hanya boleh dibaca tanpa kebolehan untuk membalas – sama ada menerusi teks atau lisan. Panggilan masuk pula hanya akan memaparkan nama pemanggil tanpa kebolehan membuat atau menjawab panggilan terus daripada jam tangan. Ini disebabkan oleh Garmin Forerunner 55 tidak mempunyai pembesar suara mahupun mikrofon. Panggilan masuk hanya boleh dijawab menerusi peranti pintar yang disambungkan.


Ketahanan Bateri

Garmin mengiklankan jam tangan ini dengan kemampuan bateri yang bertahan sehingga 2 minggu pada mod jam tangan pintar. Ia kemudiannya, boleh berkurang kepada 20 jam dengan penggunaan sistem GPS secara berterusan. Dalam pengujian kami, Garmin Forrunner 55 mampu bertahan mencapai 7 hari lamanya dengan bateri berbaki 3%.


Ini adalah pengujian dengan penggunaan tambatan bluetooth pada peranti bersama sokongan GPS yang diaktifkan secara berkala. Penggunaan biasa tanpa sambungan bluetooth dan GPS pula boleh bertahan mencapai 10 hari lamanya. Proses pengecasan semula boleh dibuat menggunakan port pengecasan yang dari jenis tersendiri. Bagusnya proses pengecasan ini, ia menawarkan masa pengecasan yang pantas sekitar 1 jam sahaja.


Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Garmin Forerunner 55 mempunyai penambahbaikan yang menarik untuk beberapa aspek. Misalnya seperti rekaan yang lebih mesra pengguna bersama tali boleh ditukar ganti. Seterusnya, jangka hayat bateri juga lebih panjang berbanding model pendahulu. Iklan Garmin yang mengatakan jam tangan ini mampu bertahan mencapai 2 minggu bukanlah dakwaan yang tidak berasas. Tetapi, boleh dikatakan hampir tepat dengan penggunaan yang sederhana.

Sungguhpun begitu, ia bergantung pada penggunaan masing-masing, jikalau anda jenis kuat beriadah atau bersukan maka tidak mustahil ketahanan bateri adalah pendek. Kemudian, ciri kecergasan seperti PacePro dan cadangan senaman harian turut memudahkan ramai, di mana ia sangat membantu dalam meningkatkan motivasi seseorang untuk terus bersukan.

Cuma sayangnya, sambungan isyarat GPS yang lemah menimbulkan situasi yang kurang senang. Di mana, ia mengambil masa yang agak lama untuk mengunci sesebuah lokasi. Ini juga adalah isu yang sama kami temui pada ulasan Garmin Venu 2S sebelum ini. Pada masa sama, rekaannya adalah ringkas dan anda tidak boleh mengharapkan sesuatu yang bergaya daripadanya. Sudah namapun jam tangan bersukan, rekaan pastilah mesra atlet. Kalau gaya adalah pilihan, anda boleh dapatkan rangkaian Garmin Venu yang lebih memfokuskan kepada gaya hidup.

Seperkara lagi, ia juga tidak mempunyai storan muzik dan fungsi Garmin Pay. Sungguhpun begitu, ia masih sebuah jam tangan pintar yang baik dalam kelasnya buat pelari pemula. Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya menerusi kedai atas talian rasmi dan pengedar sah Garmin di seluruh Malaysia pada harga RM960.


Pro

  • Binaan yang mesra pengguna bersama tali boleh ditukar ganti.
  • Ketahanan bateri yang memuaskan.
  • Ciri kecergasan yang memudahkan ramai untuk kekal bersenam.
  • Aplikasi yang mencukupi untuk kebanyakan penggunaan harian.
  • Dilengkapi penarafan kalis air 5ATM yang boleh dibawa berenang.

Kontra

  • Kualiti skrin asas dengan penampakan piksel yang jelas.
  • Antaramuka & penggunaan aplikasi tidak mesra pengguna.
  • Sambungan isyarat GPS yang lemah.

Komen ()