Cari @ Amanz

Intel dan isu kerentanan sekuriti berpisah tiada. Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Intel telah menemui satu kerentanan sekuriti berkaitan cip pengawal grafik yang hadir pada siri CPU Intel Core generasi keempat Haswell. Kerentanan ini dilihat berlaku apabila API DirectX12 diaktifkan melalui cip-cip pemprosesan tersebut, dan langkah termudah untuk menutup isu ini ialah apabila sokongan untuk API tersebut dihentikan.

Oleh yang demikian, untuk memastikan pengguna tidak terkesan akibat kerentanan sekuriti ini, Intel telah menamatkan sokongan untuk API DirectX12 pada cip grafik siri CPU Haswell dengan kemaskini terbaru mereka.

Kemaskini perisian grafik terbaru Intel, iaitu perisian pemandu grafik 15.40.44.5107 akan menamatkan sokongan API tersebut pada cip pemprosesan grafik Intel Iris Pro Graphics 5200 dan 5100, HD Graphics 5000, 4600. 4400, 420 dan juga cip pemprosesan grafik pada CPU Intel Pentium dan Celeron yang dibangunkan berdasarkan siri cip pemprosesan Haswell juga.

Intel juga mengumumkan bahawa sokongan DirectX12 ini dimatikan untuk cip grafik terbina didalam siri CPU Haswell sahaja. Jika anda masih lagi menggunakan cip pemprosesan tersebut dengan kad grafik kendiri daripada AMD ataupun NVIDIA, perkara ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada mereka.

Sumber: Tom’s Hardware

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd