Cari @ Amanz

Ulasan Realme TechLife Robot Vacuum – Robot Pintar Yang Sedikit Dungu

Link Copied!

Tidak dinafikan apa yang Xiaomi buat, mesti Realme turut ingin ikuti. Sehinggakan ada eksekutif mereka bergaduh di Twitter. Xiaomi ada TV, Realme pun ada TV, Xiaomi ada produk audio, Realme pun ada, Xiaomi ada robot, sudah tentu Realme pun ingin lancarkan variasi mereka.

Pada awalnya, agak terkejut dan menarik untuk lihat Realme laju berkembang dalam pemasaran produk mereka. Usia yang masih muda tapi sudah bersaing dengan jenama yang sudah lama berkecimpung dalam arena sama. Tetapi apabila sudah mula naik, menjadi popular, Realme dilihat mungkin telah lupa asal-usul mereka dengan penawaran produk mampu milik.

Ini kerana Realme TechLife Robot Vacuum atau Realme Robot Vacuum ini dijual pada harga RM1,999. Agak mahal untuk produk pertama dalam kategori hampagas robotik ini, sedangkan jenama lain yang sudah berpengalaman pun jual pada harga yang lebih mampu milik seperti Roborock, Deebot dan Xiaomi. Jadi adakah produk in i cukup bagus dan berbaloi dimiliki? Ini adalah artikel ulasan.


Spesifikasi Dan Rekaan

Seperti kebanyakan robot vakum di luar sana, Realme Robot Vacuum ini turut mempunyai sensor LiDAR untuk tujuan mencari arah selok-belok serta menggunakan sistem laser untuk menjana peta melalui sistem pemetaan tersendiri. Kelebihan pada Realme Robot Vacuum ini adalah ia ditemani dengan 38 sensor jitu tambahan yang membolehkan kerja pembersihan dilakukan dalam corak-Y, mengesan permukaan berbeza, mampu mengimbas secara 360-darjah dengan komponen berwarna kuning di atas vakum ini sentiasa berputar, sistem pemetaan yang didakwa jitu 98%, serta mampu mengulangi kerja pembersihan yang rumit atau mampu tahu sendiri jika robot ini ada terlepas kawasan untuk membersih.

Realme turut mendakwa mereka mempunyai sistem mengelak halangan yang bagus dan tepat, selain mampu membersihkan pada mod senyap di tahap 55dB sahaja. Pembersihan dilakukan dengan dua berus sisi serta berus pada roda utama. Turut ditawarkan secara berasingan adalah tangki mop 300ml kerana ia bukan jenis dalam satu bersama tangki habuk 600ml. Kuasa sedutan didakwa mempunyai tahap sedutan sehingga 3000Pa.

Bercakap lagi mengenai pembersihan, Realme Robot Vacuum turut perlu dikawal dengan aplikasi Realme Link sepertimana Xiaomi dengan Mi Home. Di dalam aplikasi, pengguna boleh mencipta profil setiap ruang dengan preset pembersihan tersendiri, mampu menyimpan 5 peta, penjadualan pembersihan, arahkan membersih ruangan tertentu, zon dilarang mop, sesetengah zon boleh dibersihkan mengikut waktu dan banyak lagi.

Sudah semestinya mencipta dinding maya turut disokong. Realme turut membina sistem ujian kendiri untuk robot ini melakukan diagnosis kesihatan secara automatik. Tetapi menurut Realme usah risau dengan sensor mereka turut mampu mengira jarak dan mampu mengelak dengan tepat – semuanya akan menjadi baik sahaja.

Bateri pula adalah 5200mAh dengan kemampuan beroperasi selama sekitar 5 jam dengan kemampuan mengecas sendiri jika bateri lemah. Masa pengecasan dikatakan adalah sekitar 6 jam untuk penuh. Tetapi dengan konsep bergerak dan kembali dengan sendiri – masalah bateri turut tidak perlu risau.

Menjadikan vakum ini lebih pintar adalah sokongan integrasi kawalan suara Google Assistant atau Amazon Alexa.

Pengalaman Penggunaan

Pada awal menerima robot hampagas ini, ia sudah memberikan pengalaman penggunaan yang tidak enak. Kemaskini perisian terkini sukar untuk dilakukan sehingga robot perlu direset beberapa kali. Sejurus itu selesai, tetapan telah dilakukan, bilik dan ruang berjaya dikesan dan dipetakan kerja pembersihan mula dilakukan.

Secara terus, robot ini langgar meja, langgar dinding, kerusi dan segalanya seakan tidak reti untuk mengelak halangan. Mungkin ia baru bangun, dan masih pening dan dalam proses pembelajaran lagi. Jadi 2-3 hari penggunaan masalah ini boleh diterima. Tetapi suatu hari, ketika ia sedang membersihkan studio Amanz segala kabel, wayar dan palam pengecas dilanggarnya dan diheret dari

Kemudian, bahan binaan yang tidak kemas atau mungkin terlampau rendah kualitinya menyebabkan apabila robot ini terlanggar kaki manusia akan ada rasa sakit sedikit kerana bahagian bawah yang ada kesan plastik yang sedikit tajam.

Kerja pembersihan memang senyap jika menggunakan mod 55dB, tetapi sawang dari siling yang jatuh ke lantai pun tidak boleh disedut. Mod biasa kelihatan baik, tetapi tidak cukup kuat lagi, kecuali pada mod Turbo yang agak baik. Cuma pembersihan paling efisien adalah mod Max, dengan kuasa 3000Pa – tetapi bunyi terlampau bising dan tidak sesuai digunakan di dalam ruangan kerja Amanz.

Untuk kerja-kerja mop, selepas ia digunakan ia agak baik dan pantas mengesannya. Tetapi masalahnya adalah ia lambat untuk alirkan air atau kain tambahan yang perlu digunakan lambat menyerap air menjadikan kerja-kerja hibrid vakum dan mop tidak begitu kemas.

Pembersihan lantai dalam corak-Y dilihat agak baik, kerana secara automatik ia akan ulang untuk melakukan kerja pembersihan dua kali. Ia juga mampu perli rapat dengan bucu dinding untuk bersihkan ruangan rumit.

Masalah robot ini adalah kuasa sedutan dan kuasa mop yang tidak begitu tepat dan mungkin bermasalah. Untuk robot bernilai mencecah RM2000 dan ada banyak masalah ia sukar untuk dicadangkan kepada orang ramai sedangkan robot seperti Xiaomi, Deebot, Roborock dan banyak lagi pada harga lebih murah mampu beroperasi dengan lebih hebat.

Kemudian tangki habuk pula tiada penutup atau flap, menjadikan habuk mudah terkeluar apabila ingin kosongkan tangki.

Penggunaan Realme Techlife Robot Vacuum ini amat tidak menarik dan menjengkelkan. Fungsi pengesanan dan imbasan yang baik, tetapi kerja pembersihan seakan tukang sapu yang tidak layak menyapu.

Bateri

Realme Robot Vacuum ini tidak cukup pintar seperti Deebot atau Roborock, di mana apabila bateri lemah ia terus mencari dermaga pengecas untuk proses pengecasan kendiri dilakukan. Kerap kali ia mati di tengah-tengah bilik atau di laluan orang lalu-lalang.

Masalah lain adalah, apabila robot ini diangkat untuk dicas secara manual ia kerap tidak menjadi dan banyak kali juga butang cas pada aplikasi perlu ditekan. Berbanding dengan robot lain pada harga lebih mampu milik, yang bijak menggunakan kuasa dan mengecas sendiri – Realme perlu banyak belajar lagi.

Ketahanan bateri boleh diterima, mengikut penggunaan. Jika banyak mod turbo digunakan ia akan cepat kehabisan bateri. Manakala jika kerap menggunakan mod senyap atau mod auto, ketahanan adalah lebih lama. Ketahanan bateri pada robot ini langsung tiada isu selain daripada masalah pengecasan tadi.

Fungsi Dan Ciri Pintar

Seperti yang dinyatakan di awal artikel ini, robot ini perlu dikawal dengan aplikasi Realme Link. Aplikasi ini dilihat amat mudah untuk digunakan, tetapi ia tidak begitu stabil dan kerap tergendala. Menjadikan pengalaman penggunaan lebih menjengkelkan.

Aplikasi ini adalah seakan Mi Home, di mana semua produk di dalam satu ekosistem yang memerlukan kawalan aplikasi, sambungan Bluetooth – kebanyakan perlu dikawal dengan Realme Link. Log masuk, menambah peranti dalam aplikasi dan tetapan semuanya berjalan lancar. Tetapi masalah lambat memuat dan mudah tergendala ini mengganggu penggunaan.

Bukan itu sahaja, di dalam aplikasi juga setiap tetapan sedikit lambat apabila selesai ditetapkan. Seakan ada sela masa di mana pengguna perlu tekan dan tunggu untuk ia mula berubah.

Kesimpulan

Jadi, jelas di sini Realme mungkin ada silap dari segi strategi pemasaran atau mereka hanya lakukan langkah gila yang berani. Robot hampagas RM1,999 dengan prestasi seakan robot hampgas generasi awal adalah tidak berbaloi. Robot yang tidak begitu cermat, tidak begitu hebat dalam lakukan tugasan dan melakukan kerja pembersihan yang tidak bersih mana tidak kiralah menyedut atau mengemop.

Produk ini mungkin satu eksperimen Realme sahaja dalam mengembangkan lagi ekosisten mereka dalam peranti berhubung. Langkah bijak Realme ini sudah kelihatan ada potensi, tetapi harga jualan masih perlu dibaiki. Sukar untuk menerima jenama yang baru mencuba produk hampagas, sudah ingin jual mahal dan acah hebat seperti jenama yang lebih berpengalaman.


Pro

  • Ada komponen warna kuning yang berputar kelihatan cool.
  • Ekosistem Realme semakin berkembang.
  • Boleh mop, boleh sedut dan kawal semua daripada dalam aplikasi.

Kontra

  • Bahan binaan yang tidak begitu berkualiti.
  • Kerja pembersihan yang tidak cermat dan bijak.
  • Harga yang mahal berbanding pesaing yang lebih berkuasa.

Komen ()