Carian
OnePlus Nord 2 PAC-MAN Edition Diumumkan
November 8, 2021 Effi Saharudin

OnePlus Nord 2 PAC-MAN Edition telah diumumkan hari ini sebagai peranti pertama keluaran OnePlus yang mempunyai tema khas permainan video klasik. Walaupun telah diumumkan, OnePlus masih merahsiakan rekaan peranti dengan hanya berkongsi antaramuka OxygenOS yang digunakan akan mempunyai banyak kustomasi serta menggunakan ikon berasaskan PAC-MAN.

Panel belakang pula menyala dalam gelap untuk memaparkan teka laluan keliru (maze) PAC-MAN yang cukup ikonik. Dari segi spesikasi ia masih lagi sebuah Nord 2 dengan skrin 6.43-inci 90Hz, dijana dengan cip MediaTek Dimensity 1200, memori 12GB RAM, dan storan 256GB.

Melengkapkan penawaran telefon pintar ini adalah tri-kamera utama dengan sensor 50+8+2 MP dan kamera hadapan 32MP. OnePlus Nord 2 5G turut hadir dengan sokongan bateri 4500mAh, dengan pengecasan pantas 65W. Peranti dijual pada harga ₹37,999 (~RM2131) sebuah.

Sempena pelancaran peranti, peminat di Eropah dan India boleh memenangi peranti percuma dengan mencatatkan skor tertinggi dalam permainan PAC-MAN di laman OnePlus sekarang. Pertandingan dibuka selama dua hari dengan tiga pemenang akan dipilih.

Komen