Seperti yang sedia maklum, Samsung ialah syarikat teknologi terkemuka yang terkenal untuk bukan sahaja peranti-peranti mereka, tetapi juga komponen-komponen yang digunakan dalam peranti pengguna dan juga mesin-mesin pelayan dalam industri IT.
Terkini, Samsung telah mengesahkan pembangunan memori LPDDR5X 16 Gigabit yang akan digunakan tidak lama lagi dalam industri 5G, pembelajaran mesin, kecerdasan buatan, pembangunan dunia metaverse dan sebagainya.

Menurut Samsung, memori LPDDR5X ini hadir dengan kelajuan sekitar 8.5 gigabit/s, lebih pantas berbanding dengan penawaran memori LPDDR5 mereka sebelum ini yang mempunyai kelajuan 6.4 gigabit/s. Bukan itu sahaja, modul memori terbaru ini juga hadir dengan kadar penggunaan kuasa yang lebih rendah berbanding dengan penawaran lepas, menjadikannya memori yang jauh lebih cekap.
Samsung mengatakan dengan DRAM 16 gigabit ini, mereka boleh membangunkan modul memori dengan kapasiti sebesar 64GB yang dijangka boleh memenuhi pelbagai jenis keperluan memori pengguna tidak kira industri yang memerlukannya.
Pembangunan besar-besaran memori LPDDR5X ini dijangka akan dimulakan tidak lama lagi, dimana sampel-sampel akan dihantar kepada rakan kerjasama Samsung untuk menguji kemampuan komponen terbaru ini.
Sumber: Samsung