Teknologi penghantaran data PCIe 5.0 baru diperkenalkan kepada khalayak umum melalui pelancaran siri CPU Intel ke-12 Alder Lake. Walaupun begitu, storan pengguna yang memanfaatkan teknologi ini masih belum hadir di pasaran lagi, dan nampaknya sektor pertama yang akan memanfaatkan teknologi ini ialah sektor pusat data.
Kioxia, iaitu syarikat pembangun teknologi storan yang dahulunya milik Toshiba, baru-baru ini telah memperkenalkan siri SSD perindustrian Kioxia CD7 yang menggunakan piawaian EDSFF (Enterprise and Data Center Standard Form Factor) yang dibina dengan sokongan untuk PCIe 5.0.
Ini bermakna bahawa saiz storan Kioxia CD7 ini hadir dengan saiz fizikal yang lebih kecil berbanding dengan rekaan 2.5 inci sedia ada, membolehkan pusat-pusat data untuk memuatkan lebih banyak storan berbanding dengan storan yang menggunakan rekaan sedia ada.

Rekabentuk EDSFF ini juga dijangka akan menjadi rekaan piawaian industri tidak lama lagi, dan Kioxia dilihat diantara syarikat pelopor yang mula menggunakan rekabentuk ini.
Dari segi pilihan storan, siri SSD Kioxia CD7 ini hadir dengan pilihan sehingga 7.68TB dan mempunyai kelajuan pembacaan data setinggi 6.45GB/s menggunakan dua lorong PCIe 5.0, berbanding dengan empat lorong PCIe 4.0. Ini bermakna bahawa untuk mendapatkan kelajuan yang hampir setaraf dengan kelajuan maksima PCIe 4.0, SSD ini hanya menggunakan separuh lorong yang diperlukan, dan ini membolehkan pusat data untuk memuatkan lebih banyak storan dalam mesin pelayan mereka yang hadir dengan sokongan PCie 5.0.
Kioxia dijangka akan mula memperkenalkan storan CD7 ini kepada pusat-pusat data tidak lama lagi.