Cari @ Amanz

Pada minggu lepas, kami ada melaporkan mengenai Kingston yang baru melancarkan siri SSD Kingston KC3000 mereka yang hadir dengan kapasiti dan kadar penghantaran data yang sangat tinggi. Kini, dengan pelancaran siri CPU Intel generasi ke-12 Alder Lake, mereka turut mengemaskini penawaran Kingston Value RAM mereka dengan model DDR5.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, SSD Kingston KC3000 hadir dalam tawaran 500GB, 1TB, 2TB dan 4TB dan hadir dengan kadar pembacaan dan penulisan data setinggi 7000MB/s bergantung kepada storan yang dipilih. Kelajuan yang tinggi ini membuatkan SSD KC3000 ini sesuai sekali untuk digunakan sebagai storan untuk menaiktarafkan kapasiti konsol PlayStation 5 anda sekiranya anda memilikinya.

Beralih kepada penawaran RAM DDR5 pula, Kingston turut memperkenalkan Kingston DDR5 Value RAM yang mana sebatang modul memori hadir dengan 16GB memori DDR5 dengan kelajuan asas 4800MHz. Memori Value RAM ini akan ditawarkan dalam kit sekeping dan dua keping dengan kapasiti 32GB bagi mereka yang mahukan jumlah memori yang lebih besar.

Kingston memberitahu kami bahawa kedua-dua storan SSD Kingston KC3000 dan memori DDR5 ini akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi, dan tanda harga untuk komponen-komponen ini akan diperlihatkan kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd