Jika anda aktif dalam sektor pelaburan saham, anda pastinya kenal nama Robinhood, iaitu platform pelaburan mesra pengguna yang memudahkan orang ramai untuk melabur, khususnya di Amerika Syarikat.
Hari ini, Robinhood telah mengeluarkan kenyataan dan mengatakan bahawa pengkalan data mereka telah digodam, dimana sejumlah besar butiran alamat emel, nama pengguna dan sejumlah butiran lain telah tertiris.
Menurut mereka, pada 3 November yang lalu, seorang penggodam telah berjaya menggunakan teknik kejuruteraan sosial untuk memasuki pengkalan data syarikat tersebut, dan berjaya untuk mendapatkan 5 juta alamat emel pengguna platform pelaburan tersebut dan nama penuh kepada dua juta pengguna mereka.

Selain daripada itu, ia dikhuatiri bahawa butiran hari lahir dan poskod seramai 310 orang pengguna telah terkesan juga. Walaupun begitu, Robinhood mengatakan bahawa butiran-butiran seperti kata laluan, nombor akaun bank, sekuriti sosial dan kad debit atau kredit tidak tertiris daripada serangan ini.
Dalam pos yang sama, pihak Robinhood mengatakan bahawa mereka telah memperbaiki kerentanan tersebut, dan memberitahu pelanggan-pelanggan terlibat terlebih dahulu mengenai isu tersebut. Pengguna platform tersebut juga diminta untuk menggantikan kata laluan mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
Sumber: Robinhood