Jetson AGX Orin Ialah Modul Kecerdasan Buatan Paling Maju Keluaran NVIDIA

Diterbitkan pada Nov 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

NVIDIA ialah syarikat teknologi yang cukup terkenal untuk teknologi pemprosesan grafik untuk kelas pengguna mereka, termasuklah percubaan mereka untuk mengambil-alih syarikat pembangun cip pemprosesan terkenal di UK, iaitu ARM.

Baru-baru ini, di acara NVIDIA GPU Tech Conference, syarikat tersebut telah memperlihatkan adikomputer pemproses kecerdasan buatan terbaru mereka yang dinamakan Jetson AGX Orin. Komputer ini dibangunkan untuk kegunaan industri-industri IT seperti robotik, kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan sebagainya.

Apabila dibandingkan dengan model sebelum ini, iaitu Jetson AGX Xavier, AGX Orin dikatakan hadir dengan kuasa memproses data enam kali lebih tinggi berbanding dengan model tersebut. NVIDIA mengatakan bahawa adikomputer ini hadir dengan kemampuan untuk memproses 200 trilion operasi sesaat, iaitu kemampuan memproses sama dengan sebuah mesin pelayan yang menggunakan teknologi GPU, tetapi hadir dengan saiz sebuah bongkah yang muat di atas tapak tangan seseorang.

Adikomputer ini dibangunkan menggunakan cip pemprosesan grafik Ampere, iaitu GPU sama yang digunakan didalam siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 yang terbaru. Menurut NVIDIA, adikomputer kerdil ini dilihat akan mempunyai kegunaannya dalam industri-industri yang memerlukan kebolehan memproses data pantas dan dengan lengah masa yang rendah, seperti pembedahan menggunakan teknologi robotik, pemprosesan perubatan masa nyata dan juga industri automotif yang rata-ratanya memperlihatkan keperluan sebuah komponen tersebut yang semakin meninggi.

NVIDIA mengatakan bahawa untuk pembangun teknologi-teknologi akan datang, adikomputer Jetson AGX Orin ini akan tiba di pasaran pada awal tahun 2022 kelak pada tanda harga yang akan diumumkan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami