Carian
Microsoft Memperkenalkan Windows 11 SE – Ditujukan Untuk Para Pelajar
November 10, 2021 Aman

Microsoft hari ini secara rasminya telah memperkenalkan sistem operasi Windows 11 SE, yang lebih dioptimasikan untuk digunakan oleh para pelajar untuk tujuan pembelajaran.

Windows 11 SE dilihat diposisikan sebagai penawaran lebih berbaloi berbanding Chromebook yang digunakan meluas di sektor pendidikan pada hari ini. Microsoft tidak nyatakan apakah nama penuh sebalik “SE”, namun spekulasi awal mengatakan ia mungkin adalah “Student Edition” atau “School Edition”.

Windows 11 SE hadir dengan pengoptimasian prestasi, khusus untuk digunakan pada peranti berspesifikasi rendah. Ia dihadkan kepada peranti dengan memori 4GB atau 8GB RAM, selain storang dengan pilihan 64GB atau 128GB. Antaramukanya juga turut diperkemaskan, untuk memudahkan para pelajar fokus ketika pembelajaran.

Windows 11 SE juga hadir dengan penyelesaian berasaskan awan, termasuk dari segi storan, selain memudahkan pentadbir disekolah menguruskan peranti para pelajar terus secara awan.

Pentadbir boleh mengawal aplikasi dan perisian yang dipasang pada komputer Windows 11 SE. Tiada sokongan Microsoft Store yang hadir bersama dengan Windows 11 SE.

Sejumlah pengeluar peranti dijangka hadir dengan penawaran Windows 11 SE bersama peranti masing-masing, termasuk Acer, Asus, Dell, Dyabook, Fujitsu, HP, Lenovo dan Positivo.

Komen