Cari @ Amanz

Pra-tempahan Untuk Memori DDR5 TeamGroup Dibuka – Pilihan Memori 32GB Untuk RM1229

Oleh Nazrin

Link Copied!

Intel baru sahaja melancarkan siri cip pemprosesan Alder Lake mereka yang hadir dengan sokongan untuk memori DDR5, yang dikatakan hadir dengan kelajuan jauh lebih pantas berbanding DDR4 dan penggunaan kuasa yang lebih rendah.

Hari ini, Team Group nampaknya telah membuka pra-tempahan untuk modul memori DDR5 mereka sendiri, iaitu TeamGroup ELITE U-DIMM DDR5 PC4800 yang hadir dalam kit dua modul 16GB yang membolehkan pengguna untuk membina komputer dengan memori sebanyak 32GB. Ia juga hadir dengan kelajuan asas 4800MHz, yang mana sekiranya dibandingkan dengan memori DDR4, merupakan diantara kit dengan kelajuan yang tertinggi yang boleh didapati.

Dari segi rekaan kit, memori TeamGroup ELITE ini nampaknya hadir dengan rekaan asas menggunakan papan litar berwarna hitam, dan tidak mempunyai sebarang penutup penyejuk untuk mengalirkan haba daripada komponen-komponen DRAM yang diperlihatkan pada memori tersebut.

Melalui laman Shopee mereka, TeamGroup memperlihatkan penawaran kit memori DDR5 ini pada harga RM1229, dimana kami menjangkakan banyak memori DDR5 yang akan ditawarkan akan hadir dengan tanda harga yang sama atau lebih mahal, bergantung kepada kapasiti DRAM dan juga kelajuannya.

Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan memori TeamGroup ELITE DDR5 ini, anda boleh pra-tempah kit memori tersebut di laman Shopee ini.


Komen ()