Pada bulan lepas, Acer telah melancarkan sebuah model komputer riba produktiviti yang dinamakan Acer Aspire Vero, yang mana ia menggunakan plastik kitar semula PCR (Post-Consumer Recycled Plastic) yang boleh diperlihatkan melalui rangka komputer riba ini.
Dari segi spesifikasi, Acer Aspire Vero ini hadir dengan dua penawaran model dan dikuasakan dua pilihan CPU Intel generasi ke-11, termasuklah Intel Core i5 dan Intel Core i7 dengan dua penawaran memori 8GB dan 16GB dengan storan SSD NVMe PCIe bersaiz 512GB.
Ia juga dimuatkan dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD, dan menawarkan kesemua ciri-ciri tambahan pada komputer riba yang dikuasakan siri CPU ini, termasuklah Thunderbolt 4 dan WiFi6. Dari segi palam, ia dimuatkan dengan dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam Thunderbolt 4, satu palam USB 2.0, satu palam HDMI dan satu palam RJ45 untuk internet berkabel.
Seperti yang dikatakan, gimik Acer Aspire Vero ini ialah penggunaan bahan kitar semula dalam pembangunan peranti, tetapi lebih daripada itu, kotak bungkusan peranti ini juga kesemuanya diperbuat daripada bahan kitar semula dan sebarang cetakan diatas kotak ini menggunakan dakwat soya yang lebih mesra alam sekitar.
Acer Malaysia hari ini mengesahkan bahawa mereka akan membawa masuk komputer riba ini ke pasaran tempatan seawal esok, 11 November. Dari segi penawaran peranti, dua model akan diperkenalkan esok, dimana ia boleh didapati melalui kedai atas talian Acer Malaysia di laman web mereka dan juga Shopee. Sebuah promosi juga akan berlangsung dimana pembeli komputer riba ini akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM497.
- Acer Aspire Vero (Intel Core i5, 8GB RAM) – RM3399
- Acer Aspire Vero (Intel Core i7, 16GB RAM) – RM4299
Dalam pada itu, Acer Malaysia juga memperlihatkan projek konservasi Taman Tugu mereka dimana untuk setiap pembelian komputer riba Acer Aspire Vero ini, RM100 akan dimasukkan kedalam projek tersebut untuk menanam pokok-pokok baru di Taman Tugu. Setiap RM100 yang diterima akan menanam 15 batang pokok baru di kawasan tersebut.