Cari @ Amanz

Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner dilancarkan di Malaysia bulan lalu sebagai mesin pembersih hampagas nirwayar yang dijual pada harga yang boleh dikategorikan sebagai tidak masuk akal RM349 sebuah. Tak masuk akal kerana pesaing paling hampir mereka seperti Xiaomi G9 menjual mesin penyedut hampagas pada harga sekitar RM800. Jenama lebih ternama seperti Dyson pula menawarkannya pada harga tidak kurang daripada RM2000 sebuah di luar tempoh promosi.

Jadi adalah Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner ini akan membunuh Roidmi, Xiaomi dan Dyson seperti mana mereka membunuh pesaing dalam pasaran telefon pintar kelas mampu di Malaysia? Ulasan ini akan menjawab kesemua persoalan yang mungkin anda ingin jawapannya dan banyak lagi.

Spesifikasi Dan Rekaan

Rekaan mesin adalah standard seperti kesemua penyedut hampagas nirwayar di pasaran. Ini bukanlah kenyataan yang cuba menghina Realme kerana apakah rekaan yang boleh digunakan? Seperti kereta di jalan raya mempunyai empat roda, rekaan penyedut hampagas nirwayar kesemuanya sama kerana ia adalah rekaan yang paling logik sekali.

Pada bahagian atas terdapat suiz kuasa plastik yang boleh diletakkan pada tiga posisi – mati, hidup dan paling kuat. Sebuah barisan 5 lampu LED biru turut diletakkan pada bahagian atas untuk menunjukkan tahap pengecasan bateri. Sebuah motor elektrik 140W disambungkan terus kepada sebuah balang lutsinar dengan kapasiti yang boleh saya katakan agak kecil. Lebih kecil berbanding pada Samsung Jet 70 tetapi lebih besar berbanding Dyson V12 Detect Slim.

Kebuk debu yang digunakan juga sedikit aneh kerana mempunyai ruang atas dan bawah seperti ventrikel jantung. TechLife Handheld Vacuum Cleaner ialah penyedut hampagas pertama yang pernah kami gunakan dengan rekaan yang unik ini. Teori saya ialah kebuk bawah akan menyimpan sampah bersaiz besar dengan penghadang mengelakkan ia dari menyumbat kebut atas yang mengitar semula udara ke motor sedutan elektrik.

Bateri diletakkan di bawah bahagian pemegang membuatkannya seimbang di dalam tangan tetapi tidak boleh ditanggalkan. Mungkin boleh dianggap satu kekurangan kerana Dyson dan Samsung membenarkan pengguna menanggalkan bateri. Kelebihannya ialah pengguna boleh membeli dua bateri dan apabila kehabisan bateri peranti masih boleh digunakan dengan menukar sel tanpa perlu menanti pengecasan yang lama. Kelebihan kedua ialah seperti kita tahu bateri mempunyai hayat yang terhad, apabila prestasi bateri merosot pengguna hanya perlu membeli pek bateri dan bukannya membeli penyedut hampagas baharu.

Keseluruhan tubuh diperbuat daripada bahan plastik berwarna putih yang berkilat. Saya cukup kurang gemar dengan peranti berwarna putih kerana mudah kelihatan kotor dan calar balar. Tetapi pada produk pembersih ini warna putih amatlah popular kerana melambangkan kesucian

Terdapat sebuah lagi butang plastik bulat di sisi tubuh yang digunakan untuk menanggalkan kesemua kebuk sampah sekiranya sekadar membuka pintu penutup tidak memadai. Ini adalah perlu sekiranya anda ingin membasuh penapis HEPA yang disertakan.

Sekali lagi dari segi rekaan adalah mirip dengan hampir kesemua mesin penyedut hampagas nirwayar di pasaran dengan perubahan pada kebuk simpanan sampah sahaja yang terbahagi kepada dua bahagian.

Realme menyertakan tiga kepada pembersih. Satu kepala dengan berus bermotor yang boleh berputar pada kelajuan 2200 RPM. Berus adalah dari jenis lembut yang tidak akan mencalarkan permukaan lantai kayu. Sebuah kepala berus kecil untuk ruang kecil dan membersihkan debu kipas serta akhir sekali sebuah kepala tirus untuk ruangan sempit. Seleksi aksesori yang diberikan adalah mencukupi untuk melakukan kebanyakan kerja membersihkan rumah.

Dari segi rekaan ia tidak kelihatan murahan dengan beberapa bahagian plastik mempunyai cat yang membuatkannya kelihatan seperti logam. Dengan harga jualan bawah RM400, saya rasakan merungut mengenai kemasan plastik dan tidak kelihatan premium adalah yang tidak sepatutnya dilakukan. Tidak adil langsung untuk membandingkannya dengan sebuah Dyson.

Penggunaan

Kesemua aksesori dapat dipasang dengan kemas dan tegap. Tidak terasa longgar sehingga membuatkan proses membersihkan rumah terasa canggung. Memasang dan menanggalkan tangkai penyedut serta kepala juga mudah dengan sistem satu butang yang tidak menyusahkan pengguna. Apabila kesemua aksesori dipasang dengan kepala berus, penyedut hampagas ini masih lagi seimbang. Tidak terasa terlalu berat kerana hanya sekitar 1.5 kilogram. Walaupun selepas sesi membersih yang panjang, tangan saya tidak terasa seperti akan tertanggal dari soket.

Kerana ianya seimbang dan kepala berus yang mempunyai artikulasi yang baik, mengarahkan penyedut ke ruang yang ingin dibersihkan juga amat mudah. Sama seperti standard Dyson V12 yang saya miliki sendiri di rumah. Harga mungkin berbeza 9 kali ganda, tetapi dari segi penggunaan ianya setaraf.

Pada tetapan sedutan paling tinggi sekalipun, bunyi yang dihasilkan tidak begitu membingitkan telinga. Ini satu kelibahan yang saya bole berikan berbanding dengan penyedut Dyson yang bingit pada tetapan sedutan tertinggi. Sungguh senyap sehingga kucing di rumah tidak terkejut dari tidur apabila TechLife Handheld Vacuum Cleaner dihidupkan. Kepada mereka yang mempunyai haiwan peliharaan, ini ialah mesin penyedut hampagas yang tidak akan menyebabkan si comel berbulu anda trauma.

Realme berkata dengan sekali caj ruang sebesar 120 meter persegi (1292 kaki persegi) boleh dibersihkan atau 40 minit secara berterusan. Ini saya rasakan hanya realistik pada tetapan sedutan sederhana dan rumah yang tidak berpermaidani.

Amat mudah menyedut kotoran di lantai apabila ia hanya sekadar jubin atau lantai kayu. Kepala berus lembut membantu proses menyedut dengan sekali sedutan. Tetapi kepala lembut ini tidak berdaya untuk mencabut kotoran dan bulu kucing yang melekat pada permukaan permaidani walaupun pada tetapan sedutan paling tinggi.

Saya mempunyai seekor kucing British Short Hair yang suka menanggalkan bulu seperti seorang bapa tak guna meninggalkan tanggungjawab kepada anak. Walaupun selepas kepala dilalukan pada bulu yang melekat beberapa kali, penyedut hampagas ini tidak mampu mencabutnya keluar. Realme tidak menyertakan kepala dengan berus kasar seperti Dyson untuk tugasan mencabut bulu prestasi tinggi. Selepas beberapa kali gagal saya mengibarkan bendera putih dan menggunakan sahaja Dyson di rumah yang sudah lama terbukti berkesan.

Isu yang lebih besar pada hemat saya ialah kapasiti balang sampah yang terlalu kecil. Ia perlu dikosongkan sehingga lima kali untuk membersihkan ruang menonton TV, ruang tamu dan ruang makan di rumah. Sebagai perbandingan Dyson V12 yang kami milik perlu dikosongkan hanya 3 kali dan Dyson D24 hanya perlu dikosongkan dua kali.

Ini memenatkan kerana momentum melalukan kerja terhenti dan balang TechLife Handheld Vacuum Cleaner mempunyai dua kebuk yang perlu dibuka plag penapis tengah untuk benar-benar mengosongkan. Ya rekaan dwi-kebuk yang digunakan hanya menambah kerja dan tangan perlu menyentuh kotoran yang dikumpulkan. Saya cukup tidak gemar menyentuh gumpalan rambut dan debu yang terkumpul jadi proses membersihkan kebuk sampah TechLife Handheld Vacuum Cleaner sangat menjengkelkan.

Satu lagi isu yang tak kurang seriusnya ialah sampah yang disedut mudah tersekat pada sudut melengkung antara kepala berus berputar dan tiub panjang yang menyambungkannya kepada bahagian badan TechLife Handheld Vacuum Cleaner. Ini berlalu kerana kuasa sedutan yang tidak cukup kuat untuk mengelakkan sampah dari tersekat. Tidak ada sistem automatik yang mengubah kuasa sekatan kepada tinggi apabila sekatan dikesan pada model ini. Penukaran ke mod sedutan tinggi perlu dilakukan secara manual setiap kali.

Pada tetapan paling tinggi sekalipun sampah yang sedikit panjang sedikit besar akan tersekat pada sudut ini. Apabila ini berlalu prestasi sedutan sampah terjejas dan dapat dilihat sampah tidak boleh dibersihkan dari lantai. Maka saya perlu mencabut kepala berus, buka bahagian roda bulu lembut berputar dan kemudian membersihkan sekatan secara manual. Saya telah katakan saya benci menyentuh sampah dan debu (kerana saya ada resdung yang menyebabkan saya bersin teruk apabila menyentuh debu) maka apabila sampah tersekat perlu dibersihkan beberapa kali ia menyebabkan saya rasa ingin mengamuk.

Isu seperti ini tidak pernah saya hadapi pada mesin penyedut hampagas retro di rumah arwah mama atau kesemua mesin penyedut hampagas lain yang pernah saya ulas untuk Amanz. Jika Realme menjual model kemas kini untuk TechLife Handheld Vacuum Cleaner kelak, saya sarankan motor yang lebih berkuasa digunakan untuk mengelakkan ini dari berulang.

Dengan ini saya boleh katakan TechLife Handheld Vacuum Cleaner mungkin hanya sesuai digunakan oleh mereka yang mempunyai rumah yang tidak berpermaidani, tidak mempunyai haiwan belaan yang berbulu lebat dan ingin hanya menyedut sampah bersaiz kecil. Jika kesemua parameter-parameter ini tidak dipenuhi, TechLife Handheld Vacuum Cleaner akan memberikan pengalaman penggunaan yang tidak begitu memuaskan.

Bateri

Secara purata kami dapat melakukan pembersihan sehingga 30 minit sahaja. Ini adalah lebih rendah berbanding 40 minit yang diiklankan oleh Realme. Agak mustahil mendapatkan tempoh penggunaan yang lebih panjang kerana perlunya menukar dari mod sedutan sederhana ke mod sedutan tinggi dengan kerap memandangkan motor yang tidak begitu berkuasa.

Tahap pengecasan ditunjukkan dengan lima lampu LED pada bahagian atas badan mesin penyedut hampagas. Lima lampu biru ditunjukkan apabila penuh. Proses mengecas semula bateri 2000 mAh adalah sekitar 3 jam menerusi sebuah pengecas dengan kepala bulat yang biasanya digunakan pada komputer riba.

Jauh di lubuk hati saya menyimpan hasrat penyedut hampagas juga menggunakan port pengecasan USB-C tetapi ini masih belum berlaku walaupun Realme yang mengeluarkannya. Jadi jangan hilangkan pengecas DC yang diberikan kerana jika hilang, adalah sukar mencari penggantinya di rumah.

Kesimpulan

Pada harga RM349, Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner ialah penyedut hampagas nirwayar yang paling mampu milik pernah saya ulasan dan gunakan. Apa yang saya boleh katakan ialah prestasi pembersihannya adalah REAListik dengan harga ia ditawarkan.

Memadai untuk menyedut sampah-sampah kecil, ringan dan di atas permukaan lantai licin. Kerana motornya yang tidak begitu berkuasa dan dipadankan dengan kepala berus lembut sahaja, TechLife Handheld Vacuum Cleaner mempunyai masalah membersihkan permukaan permaidani dan bulu haiwan yang melekat pada perabot. Motor yang agak sendu ini juga menyebabkan sampah mudah tersekat pada “kerongkong” tiub sehingga pembersihan secara manual perlu dilalukan dengan agak kerap.

Kebuk sampahnya juga terlalu kecil untuk saya yang hanya mempunyai rumah sebesar 900 kaki persegi. Keperluan mengosongkannya sehingga lima kali setiap kali membersihkan rumah adalah mengecewakan tetapi ditambah lagi kekecewaannya kerana rekaan dwi-kebuk yang perlu dicabut plag untuk mengosongkannya secara menyeluruh.

Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner ini saya samakan dengan telefon pintar Realme C25. Ia bagus untuk tugasan pembersihan yang ringan tetapi mula menunjukkan kekurangan apabila perlu melakukan pembersihan yang lebih ekstensif. Bagi mereka yang ingin memiliki mesin pembersih hampagas mampu milik ini ialah model permulaan yang tidak mengoyakkan dompet anda. Tetapi saya rasakan Xiaomi Mi Vacuum Cleaner G9 adalah pilihan lebih berbaloi walaupun dijual pada harga RM799.

Pro

  • Rekaan ringan dan seimbang.
  • Hadir dengan pelbagai aksesori kepala pembersih.
  • Mudah dikawal terutamanya pada ruang sempit.
  • Hayat bateri yang baik untuk kelasnya.
  • Tidak terlalu bising dan mesra kucing.
  • Harga yang amat mampu milik.

Kontra

  • Sistem membersihkan bekas sampah yang tidak begitu mesra pengguna.
  • Kuasa menyedut tidak tinggi sehingga sampah mudah tersekat.
  • Sukar membersihkan permaidani yang tebal.
  • Pengecasan bateri yang perlahan.
  • Bekas simpanan sampah yang kecil.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd