Industri Automotif Dijangka Membelanjakan $515 Bilion Untuk Membangunkan Teknologi Kenderaan Elektrik Menjelang 2030

Diterbitkan pada Nov 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sepanjang tahun lepas dan juga tahun ini, kita dapat melihatkan bahawa banyak syarikat-syarikat pembangun peranti elektronik, bersama-sama dengan pemain-pemain besar dalam industri automotif mahu membangunkan kereta elektrik dan swapandu mereka sendiri.

Sebahagian daripada perkara ini didorong oleh kemahuan untuk memperlihatkan teknologi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin yang semakin maju, dan sebahagiannya juga didorong oleh kemahuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api tradisional yang dilihat bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, tetapi semakin berkurangan.

Malah, United Kingdom dan juga Kesatuan Eropah dijangka akan mengharamkan penggunaan kenderaan petrol dalam masa beberapa tahun lagi, dan sejumlah kawasan di Amerika Syarikat seperti California dilihat telahpun mula memperlihatkan pembangunan infrastruktur yang menyokong penggunaan kenderaan-kenderaan ini. Malah, jiran kita, Singapura mengatakan bahawa pulau tersebut tidak akan membenarkan jualan kenderaan petrol menjelang 2030 kelak.

Reuters baru-baru ini dilihat telah mengeluarkan laporan mengatakan bahawa industri automotif global dijangka akan membelanjakan sekitar $515 bilion untuk memajukan teknologi kenderaan elektrik dan membina infrastruktur dimana ia boleh digunakan sebagaimana kereta petrol biasa boleh digunakan hari ini untuk kemana-mana sahaja.

Walaupun begitu, perkara ini dilihat sebagai sebuah masalah besar buat syarikat-syarikat automotif yang sebelum ini yang masih belum mempunyai pelan kukuh untuk beralih kepada teknologi kenderaan elektrik. Oleh kerana syarikat-syarikat seperti Tesla yang dilihat berkobar-kobar mencanang tema kenderaan yang lebih bersih ini, banyak syarikat automotif terpaksa mengumumkan sesuatu kerana tidak mahu kelihatan ketinggalan dalam arena ini.

Satu lagi masalah ialah permintaan dan penggunaan kenderaan elektrik masih lagi berada pada paras yang rendah, walaupun Tesla dilihat mencatatkan angka jualan dan keuntungan tertinggi setakat ini. Malah ia boleh dikatakan selain daripada syarikat seperti Tesla, BMW dan Mercedes, rata-rata orang ramai masih lagi kekal menggunakan kenderaan petrol mereka setakat ini.

Tetapi ia tidak dapat dinafikan bahawa dunia kini sedang bergerak ke arah penggunaan tenaga lestari ataupun sekurang-kurangnya penggunaan tenaga yang tidak mencemar persekitaran dengan begitu teruk. Sama-sama kita tunggu dan lihat apakah masa depan industri automotif global dan bagaimana ia akan mencorakkan perjalanan kita.

Sumber: Reuters

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami