Amazfit sedia terkenal dengan penjejak kesihatan serta jam tangan pintar asas mampu milik. Populariti jam ini agak hebat sehinggakan ada komuniti aktif di Malaysia. Sedar dengan kehebatan pesaing seperti jam dengan Wear OS, watchOS atau Wear OS dengan One UI – mereka juga ingin berkecimpung dalam arena jam tangan pintar sebenar.
Melalui Amazfit GTR 3 Pro, Amazfit sudah selangkah ke hadapan. Jam ini menggunakan sistem operasi mereka tersendiri Zepp OS dan variasi Pro ini amat mengejutkan dalam beberapa minggu penggunaan. Tetapi persoalannya, sejauh mana “Pro” itu boleh pergi? Adakah hanya pada nama, atau benar-benar ada fungsi Pro?
Spesifikasi Dan Rekaan
Jam ini hadir dengan rekaan yang sangat ringkas dan elegan. Sekali pandang macam jam biasa pun ada kerana binaan yang nipis dan bergaya. Ia hadir dengan skrin AMOLED 1.45-inci 450 x 450 piksel jenis ratas, bezel nipis, dan dilindungi dengan kaca yang mempunyai lapisan anti-cap jari. Kerangka adalah daripada aloi aluminium dengan sisi terdapat dua butang fizikal, di mana butang atas ada tekstur dan turut boleh berputar untuk memilih aplikasi. Tali jam yang kami terima adalah jenis getah dengan tekstur yang sedap dan selesa. Di belakang jam boleh lihat komponen magnet untuk pengecasan serta sensor-sensor penting.
Jam ini turut dilengkapi dengan sensor BioTracker 3.0 PPG untuk SpO2, imbasan nadi, pemantauan tidur, sensor pemecut, sensor giroskop, sensor geomagnetik, barometer, cahaya ambien, suhu, sistem lokasi GPS, Galileo, BDS, WLAN, menggunakan Bluetooth 5.0, serta WiFi. Ia turut menyokong perlindungan air 5ATM.
Selain itu, jam ini turut hadir dengan bateri berkapasiti 450mAh, yang didakwa bertahan sehingga 12 hari dengan pengecasan sekitar 2 jam. Turut terbina adalah mikrofon, pembesar suara dan enjin getaran asas. Apa yang menarik adalah, jam ini turut hadir dengan sokongan pembantu digital Amazon Alexa yang boleh digunakan di Malaysia.
Amazfit menawarkan lebih 150 mod sukan termasuk dengan pemantauan menari serta permainan catur.
Pengalaman Penggunaan
Secara keseluruhan, penggunaan jam ini masih sedikit lebih kurang sama dengan menggunakan jam Amazfit GTR 2 sebelum ini. Tetapi prestasi jam ini adalah jauh lebih lancar dan seronok. Ia memberikan sedikit pengalaman penggunaan seakan Wear OS pada TicWatch model lama.
Skrin jam ini adalah antara yang terbaik pernah dialami. AMOLED yang cantik, warna yang terang, tulisan yang jelas, serta kecerahan yang sangat baik. Penggunaan tidak kira di dalam atau di luar semuanya memuaskan. Benar, tidak adil untuk bandingkan dengan jam seperti TicWatch Pro 3 GPS, Apple Watch Series 7, atau Samsung Galaxy Watch4 kerana sistem berlainan serta panel yang lebih berkualiti – tetapi untuk kategori yang sama kelas dengan Amazfit ini adalah antara yang tidak menyesal untuk digunakan. Tatalan juga adalah lancar dan amat jarang sekali untuk berlakunya lengah masa.
Always-On Display pada jam ini juga hebat. Ia pantas bertukar dari muka jam sebenar dan ke mod AOD. Apabila dalam mod AOD, ia akan membuatkan jam ini kelihatan seakan jam biasa sahaja.
Perkara penting seterusnya yang perlu disebut adalah mengenai Zepp OS. Zepp OS jika dilihat ada sedikit mirip sistem yang digunakan pada jam-jam Huawei yang terkini. Kawalan pula ada mirip Wear OS sedikit. Jadi untuk jam yang pertama kali menggunakan sistem operasi sendiri sepenuhnya, mereka bijak untuk membuatkan pengguna tidak berasa janggal. Semua informasi penting mudah diakses terus dengan tatal di sisi dapat lihat widget, Alexa, serta pelbagai cards dengan rumusan data pengguna.
Tatal ke sisi satu lagi adalah paparan data yang lebih jelas serta akses ke aplikasi kegemaran yang telah disemat pada ruangan ini. Ingin kawal muzik? Kawal kamera? semuanya boleh dilakukan dengan mudah. Sebenarnya, kedua-dua sisi ini sama sahaja – kerana Amazfit menggunakan konsep tatalan infiniti. Pengguna sendiri boleh susun setiap widget atau aplikasi mengikut citarasa masing-masing.
Tatal dari bawah ke atas memaparkan notifikasi, yang mana satu kekecewaan di sini kerana notifikasi tidak boleh di balas dan hanya boleh lihat sahaja. Tatal dari atas ke bawah adalah akses pintas ke pelbagai tetapan sistem seakan kebanyakan jam lain. Juga mudah digunakan dengan pilihan mencari telefon, akses ke kalendar, nada dering, mod pawagam, bateri, lampu suluh dan pelbagai lagi.
Menekan butang pertama di atas adalah senarai aplikasi, yang mana setiap aplikasi adalah terbina dan pengguna tidak boleh pasang sendiri atau muat turun daripada gedung aplikasi. Sebaliknya hanya boleh tambah atau sorokkan apa yang telah tersedia. Butang kedua pula adalah untuk akses pintas ke aplikasi kegemaran seperti terus membuka mod sukan dan sebagainya.
Apa yang menarik dengan penggunaan jam ini adalah, penggunaan Alexa versi antarabangsa. Ia boleh digunakan di Malaysia, tetapi dengan kaveat – tidak semua boleh digunakan. Setakat untuk memberi arahan suara menyemak cuaca, menetapkan penggera, peringatan tugasan dan lain-lain yang asas semuanya boleh. Tetapi arahan untuk peringatan membeli barang, ia akan kata tidak boleh digunakan di Malaysia. Cuaca pun masih terhad kerana ia tidak sehebat Google Assistant yang boleh mendengar loghat kita.
Untuk menggunakan Alexa ini juga, ia memerlukan akses Internet. Tetapi jika tiada, sistem pembantu digital luar talian tersendiri mereka yang lemah yang ada pada GTR 2 sebelum ini masih boleh digunakan.
Masih Pro Atau Masih Asas?
Jam ini sebenarnya separa Pro sahaja. Ia sudah selangkah ke hadapan berbanding Xiaomi yang masih dengan sistem mirip pada Mi Smart Band mereka dan belum hadir dengan versi penuh MIUI for Watch berasaskan Wear OS lagi. Jadi menggunakan jam ini tidak akan memberikan satu pengalaman penggunaan mirip Wear OS atau Tizen atau Wear OS dengan One UI. Apatah lagi dengan watchOS?
Ia masih lagi seakan jam tangan pintar asas, cuma sedikit lebih maju. Ia tidak cukup Pro kerana satu tidak boleh memuat turun aplikasi daripada gedung aplikasi atau pasang aplikasi tersendiri. Aplikasi muzik juga hanyalah kawalan Bluetooth sahaja tiada aplikasi terbina seperti Spotify. Muka jam juga terhad dengan apa yang ditawarkan dalam aplikasi Zepp atau yang terbina sahaja dan tidak boleh menggunakan muka jam pihak ketiga popular seperti daripada Facer.
Tidak boleh membalas mesej pada notifikasi seperti emel, SMS atau WhatsApp masih menjengkelkan. Tetapi bagi mereka yang sudah biasa mungkin akan rasa okay sahaja – cuma untuk jam yang dijual pada harga menghampiri RM1000 – sepatutnya sistem operasi mereka sudah berada di tahap yang lebih hebat. Amazfit masih perlu banyak belajar daripada apa yang ditawarkan oleh pesaing.
Menjadi masalah lain apabila jam ini kerap terputus sambungannya dengan iPhone. Untuk menggunakan panggilan telefon, walaupun boleh tetapi tambatan Bluetooth perlu dilakukan dua kali. Ia agak leceh.
Masalah paling serius adalah penjejakan data yang tidak konsisten. Jam ini cuba menawarkan konsep tekan sekali imbas semua. Tetapi proses yang terlampau pantas seakan satu gimik dan data juga tidak begitu tepat. Sedangkan proses SpO2 sebenar mengambil masa yang sedikit lebih lama. Imbasan nadi juga data yang dibaca kejap terlalu tinggi kejap rendah sangat. Jam ini dibandingkan sebelah menyebelah dengan Apple Watch Series 7 serta TicWatch Pro 3 GPS – data imbasan nadi TicWatch dan Apple adalah lebih kurang sama tetapi Amazfit jauh berbeza.
Pemantaun tidur juga walaupun bateri pada jam ada banyak lagi, ia kejap pantau kejap tidak. Ada sekali, apabila aplikasi dibuka ia hanya memaparkan data beberapa hari lepas dan bukan yang terkini. Aplikasi Zepp walaupun sudah kelihatan mesra pengguna, ia tidak mesra dalam penyelarian data serta pengurusan.
Bateri
Ketahanan bateri adalah bergantung kepada penggunaan. Untuk GPS dan notifikasi WhatsApp diterima tanpa henti, jam ini bertahan sekitar empat hari sahaja. Tetapi jika penggunaan yang sedikit lebih ringan, tiada masalah untuk bertahan sehingga beberapa hari. Malah untuk mencapai sehingga 12 hari seperti yang didakwa juga tidak menjadi masalah.
Masa pengecasan dikatakan adalah sekitar dua jam, yang mana agak lemah berbanding kebanyakan jam moden yang boleh dicas sekitar satu jam sahaja. Apple yang kedekut dengan teknologi pengecasan pantas juga sudah boleh tawarkan pengecasan kurang satu jam pada Series 7 mereka. Penggunaan dermaga magnetik yang tidak begitu kuat juga merumitkan keadaan.
Kesimpulan
Jam ini dijual pada harga RM949. Untuk jam tangan pintar asas yang cuba menjadi Pro, ia masih satu harga jualan yang agak mahal. Harga ini jauh lebih mahal daripada TicWatch E3 yang jauh lebih hebat dan mampu melakukan pelbagai perkara dengan harga jualan tidak sampai RM800 pun berbanding jam yang dijual menghampiri RM1K.
Tidak dinafikan, Amazfit GTR 3 Pro ini memang menarik perhatian, tetapi ia menjadi tidak menarik apabila harganya yang sukar untuk diterima apabila penawaran adalah separuh masak sahaja. Jika kita lihat harga Galaxy Watch4 pun, permulaannya sekitar RM900 sahaja dan boleh melakukan lebih banyak perkara.
Pro
- Skrin yang cantik dan menarik digunakan.
- Prestasi yang lancar dan seutas jam yang pantas.
- Binaan premium dan minimalistik.
Kontra
- Penjejakan data yang tidak begitu tepat.
- Zepp OS yang masih terhad.
- Harga jualan yang agak mahal.