Ulasan EZVIZ C3W Pro (4MP) – Pemantauan Video Terang Dan Gelap Dalam Technicolor

Diterbitkan pada Nov 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Keselamatan rumah adalah sesuatu yang boleh dikatakan cukup dititikberatkan kebelakangan ini, dan salah satu cara untuk melakukannya ialah dengan untuk melaburkan wang kepada sistem kamera litar tertutup. Secara lazimnya, sistem kamera ini bukan sahaja hadir dengan kos yang boleh dikatakan agak mahal, tetapi kebanyakannya tidak mempunyai fungsi-fungsi yang memanfaatkan teknologi masa kini.

EZVIZ, jenama kamera litar tertutup baru-baru ini telah memperlihatkan model kamera litar tertutup terbaru mereka yang dinamakan EZVIZ C3W Pro (4MP) yang hadir dengan sejumlah ciri-ciri menarik yang memanfaatkan teknologi moden yang sangat mudah digunakan oleh sesiapa sahaja.

Rekaan

Dari segi rekaan, EZVIZ C3W Pro ini boleh dikatakan hadir dengan rekaan yang menyerupai banyak kamera litar tertutup bersaiz padat. Bahagian kameranya mempunyai rekaan bulat dengan dua antena untuk sambungan WiFi dimana di bahagian sisinya terdapat dua lampu suluh yang boleh digunakan untuk menyalakan kawasan gelap sekiranya ia mengesan penceroboh ataupun pergerakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Bahagian kamera ini disambungkan terus kepada tapak yang boleh digunakan untuk mengskru kamera ini ke mana-mana bahagian dinding, dan ia hadir dengan kabel kuasa dan LAN yang mana ia boleh disambungkan ke penghala menggunakan kabel secara terus.

Di bahagian bawah kamera ini, terdapat satu bahagian yang boleh dibuka menggunakan pemutar skru yang merumahkan butang reset dan juga slot storan MicroSD yang boleh merumahkan storan microSD bersaiz 256GB.

Pemasangan

Salah satu aspek yang mungkin digeruni oleh mereka yang tidak biasa dengan sistem kamera litar tertutup ialah bagaimana mereka mahu memasang kamera-kamera ini selain daripada mengskrukan aksesori ini ke dinding-dinding rumah ataupun pejabat.

Disini, EZVIZ telah meringkaskan proses pemasangan pertama kamera ini dengan pengenalan aplikasi EZVIZ mereka. Melalui aplikasi ini, yang boleh dimuat-turun pada peranti iOS ataupun Android, secara ringkasnya adalah aplikasi utama untuk semua penawaran aksesori pintar jenama tersebut.

Untuk mengaktifkan kamera EZVIZ C3W Pro ini, anda hanya perlu memasang kamera ini pada palam kuasa, buka aplikasi EZVIZ dan imbas kod QR yang terletak di bahagian belakang kamera tersebut, ataupun pada buku panduan kamera ini.

Selepas itu, anda hanya perlu menunggu lampu LED kamera bertukar dari warna merah ke biru dan memasukkan butiran sambungan WiFi anda ke dalam aplikasi ini untuk membolehkan kamera ini disambungkan kepada rangkaian anda. Untuk panduan pengguna, kamera ini boleh disambungkan kepada rangkaian WiFi 2.4GHz sahaja, jadi kami sarankan anda sambungkan peranti anda kepada rangkaian tersebut dahulu untuk memasukkan butiran rangkaian WiFi ke aplikasi dimana ia kemudiannya akan dihantar kepada kamera tersebut.

Jika anda menanya mengapa kamera ini tidak menyokong rangkaian WIFi 5GHz, rangkaian tersebut memang mempunyai kadar penghantaran data yang lebih pantas, tetapi dari segi radius rangkaian, ia jauh lebih rendah berbanding dengan 2.4GHz.

Lebih menarik lagi, EZVIZ mengatakan bahawa tiada had untuk berapa jumlah CCTV ini yang boleh dipasang di rumah atau pejabat mereka. Anda boleh memasang kamera-kamera litar tertutup untuk seberapa bilik yang anda mahu dan hanya perlu melalui proses pemasangan awal yang sama untuk kesemua kamera-kamera tersebut.

Kawal Semuanya Melalui Satu Aplikasi

EZVIZ C3W Pro ini hadir dengan sejumlah fungsi yang cukup menarik untuk sebuah kamera litar tertutup. Pertama, seperti yang dikatakan tadi, kesemua fungsi-fungsi kamera ini boleh dikawal terus daripada aplikasi EZVIZ.

Ini termasuklah kebolehan untuk menonton suapan video, mengawal fungsi rakaman video, percakapan dua hala, penambahan peranti, pemasangan dan pembatalan penggera dan juga pelbagai tetapan kamera yang lain.

Ciri paling menarik yang hadir pada kamera ini bagi saya sudah pastinya fungsi color night vision yang mana pada banyak kamera lain, fungsi night vision mereka memperlihatkan rakaman dalam hitam putih sahaja. Ini menyukarkan pihak berkuasa untuk mengenalpasti pesalah laku kerana butiran wajah yang tidak mencukupi.

Dengan fungsi color night vision ini, anda boleh melihat dan merakam video night vision dengan warna yang dapat memberi butiran lebih lengkap mengenai penceroboh ataupun apa-apa perubahan yang berlaku pada persekitaran dalam julat penglihatan kamera ini.

Pada hemat kami, rakaman video yang diperlihatkan menggunakan mod color night mode adalah cukup baik sekiranya video tersebut mempunyai sekurang-kurangnya satu sumber cahaya, walaupun ia malap. Anda juga boleh mengaktifkan mod Smart Night Vision yang mana ia akan memantau dalam mod gelap, dan mengaktifkan pemantauan Color Night Vision apabila ia mengesan pergerakan yang menghampiri kamera ini.

Kamera ini juga boleh ditetapkan untuk menghantar amaran kepada peranti anda sekiranya ia sedang merakam apa-apa kejadian, dan dengan mikrofon dua-hala yang terbina dalam kamera ini, anda boleh berinteraksi dengan individu sekiranya mereka berada rapat pada kamera itu. Jika individu tersebut adalah seorang penceroboh, anda juga boleh mengaktifkan penggera terbina dari peranti anda, dan menyahpasangnya sekiranya mereka lari daripada kawasan yang diceroboh.

Dari segi lengah masa diantara waktu sebenar dan suapan video yang dilihat dari peranti, kami dapati bahawa lengah masa diantara dua perkakasan ini hanya lari sekitar satu saat sahaja, tidak kira anda berada dalam rangkaian internet yang sama, ataupun jika anda berada di luar rumah dan peranti anda bersambung kepada rangkaian mudah-alih.

Rakaman Dan Stora

Bercakap mengenai rakaman, EZVIZ juga hadir dengan integrasi storan awan yang boleh diaktifkan melalui langganan bulanan bermula dari RM16.90 sebulan yang boleh dilanggan secara terus melalui aplikasi EZVIZ. Melalui pelan storan awan ini, pengguna diberi pilihan untuk menyimpan rakaman seminggu ataupun 30 hari, dan anda juga boleh memilih untuk membeli langganan bulanan ataupun tahunan pada harga yang lebih murah jika diingini.

Jika anda tidak mahu melanggan sebarang storan awanan, anda juga boleh memilih untuk menyimpan rakaman-rakaman ini menggunakan storan microSD dengan kapasiti storan maksima 256GB. Saiz storan ini cukup besar khususnya apabila pengguna boleh memilih untuk menyimpan rakaman dalam tiga pilihan resolusi: Full HD, 720p dan juga 480p.

Selain daripada itu, EZVIZ C3W Pro ini menggunakan codec rakaman video H.265 yang secara ringkasnya ialah codec video yang mampu merakam video yang mempunyai butiran tinggi tetapi pada saiz fail yang lebih padat. Secara asasnya, kamera litar tertutup ini hanya akan merakam video apabila ia mengesan pergerakan dalam radius rakaman, jadi sekiranya tiada pergerakan berlaku, ia tidak akan merakam video yang tidak diperlukan.

Kekurangan

Sepanjang waktu kami menggunakan EZVIZ C3W Pro ini, saya boleh katakan dari segi fungsi dan ciri-ciri, kamera litar tertutup ini hadir dengan cara pemasangan yang sangat mudah difahami, dan fungsi-fungsi yang mudah untuk diakses dan digunakan oleh pengguna. Aspek-aspek seperti penyimpanan data dan sebagainya juga dijaga oleh EZVIZ secara latar belakang yang mana pengguna tidak perlu begitu risau tentangnya.

Dua kekurangan bagi saya yang ketara mengenai kamera ini boleh dikatakan agak remeh, tetapi bagi saya masih lagi penting. Pertama ialah plug kuasa kamera ini hadir dengan kabel yang agak pendek, jadi lokasi-lokasi yang anda boleh memasang kamera ini terhad kepada lokasi yang hadir dengan palam kuasa yang berdekatan.

Akan tetapi, EZVIZ nampaknya sedar akan kekurangan ini, dan dilihat menawarkan kabel sambungan yang jauh lebih panjang untuk memudahkan pemasangan kepada palam kuasa yang lebih jauh sekiranya diperlukan untuk RM20 di laman Shopee dan Lazada mereka.

Kekurangan kedua dan ketiga adalah berkaitan, yang mana ia berkaitan dengan rangkaian internet rumah ataupun pejabat anda. Sekiranya premis anda tidak mempunyai penghala WiFi, anda masih boleh menggunakan kabel LAN untuk menyambung kamera ini kepada rangkaian anda, tetapi ini mungkin akan menyebabkan kawasan premis anda berselirat dengan kabel sekiranya anda memilih untuk memasang lebih daripada satu kamera C3W Pro ini.

Kedua ialah kami jangkakan anda akan mahu menggunakan pelan internet dengan kelajuan sekitar 30-50Mbps keatas untuk memastikan sambungan diantara kamera dan peranti anda berjalan lancar, dan kami juga sarankan anda menggunakan penghala yang mampu menampung jumlah sambungan peranti internet yang lebih besar sekiranya anda mahu menggunakan lebih daripada satu kamera litar tertutup ini untuk mengelakkan masalah lengah masa peranti.

Penutup

Pada harga rasmi RM339 untuk satu unit, EZVIZ C3W Pro ini boleh dikatakan sebuah kamera litar tertutup yang cukup baik sekiranya anda mencari sebuah pemerhati premis yang mudah dipasang dan digunakan. Anda tidak perlu menyediakan komputer baru dan sebagainya untuk mengakses rakaman dan suapan video kerana semuanya boleh diakses melalui aplikasi EZVIZ tidak kira di mana anda berada.

Anda boleh mendapatkan kamera litar tertutup ini di Shopee sekarang, dan ia akan hadir dengan hampir kesemua aksesori yang diperlukan (kecuali kad MicroSD) untuk anda memasang kamera ini dengan segera. Jika anda berminat untuk mengetahui butiran lanjut mengenai penawaran-penawaran peranti sekuriti EZVIZ yang lain, anda juga boleh ke laman web mereka melalui pautan ini.

Pro

  • Harga berpatutan
  • Mudah dipasang dan digunakan
  • Kawalan semua peranti EZVIZ melalui satu aplikasi
  • Kualiti kamera yang baik
  • Fungsi-fungsi berguna

Kontra

  • Kabel kuasa dibekalkan terlalu pendek
  • Penggunaan penghala WiFi yang boleh menampung keperluan penghantaran data yang stabil dan jumlah peranti yang banyak

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami