Carian
Sony Akan Mengurangkan Pengeluaran Konsol PlayStation 5 Kerana Masalah Bekalan Komponen
November 11, 2021 Nazrin

Konsol permainan Sony PlayStation 5 ialah diantara komoditi yang terhangat di pasaran sekarang kerana kemampuannya untuk menggerakkan permainan-permainan pada resolusi yang tinggi dengan tetapan grafik yang hebat.

Akan tetapi, isu yang membelenggu syarikat tersebut walaupun hampir satu tahun kemudian ialah isu stok konsol yang masih tidak selesai. Di Malaysia dan mana-mana pasaran lain, pekedai-pekedai dilihat masih lagi cuba untuk memenuhi permintaan pra-tempahan yang dibuat beberapa bulan yang lalu, dan terkini, perkara tersebut dilihat masih akan berlarutan untuk seketika.

PlayStation 5

Laporan Bloomberg baru-baru ini mengatakan bahawa Sony dijangka akan mengurangkan pengeluaran konsol permainan PlayStation 5 mereka pada tahun fiskal ini dari 16 juta unit ke 15 juta unit.

Dari segi angka konsol yang dikeluarkan, ini bukanlah sesuatu yang tinggi, tetapi ia masih lagi akan memakan jumlah jualan dan keuntungan keseluruhan syarikat tersebut. Sony memberi sebab bekalan komponen elektronik yang tidak mencukupi yang menyebabkan mereka terpaksa membuat keputusan ini.

Ini mungkin boleh dilihat sebagai satu sebab mengapa baru-baru ini, Sony dan TSMC telah memeterai perjanjian untuk membangunkan kilang membuat cip di Jepun, sebagai satu langkah untuk memperbaiki rantaian bekalan komponen untuk aksesori-aksesori mereka.

Sumber: Bloomberg

Komen